SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini
menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik
pengtauliahan mengajar yang diberikan kepada Presiden Pertubuhan Ahli
Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin.
Dalam satu kenyataan Istana Selangor hari ini, Sultan Sharafuddin turut
menitahkan supaya keahlian Zamihan dalam Jawatankuasa Tauliah Negeri
Selangor dibatalkan mengikut Peraturan 4, Peraturan-peraturan Tauliah
Negeri Selangor 2008.
Keputusan itu diambil selepas baginda mengadakan perbincangan dengan Dewan Diraja Selangor hari ini.
Kenyataan itu juga menambah, tindakan tersebut diambil ekoran ceramah
agama yang disampaikan Zamihan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit
Jelutong, awal bulan ini yang mengandungi perkataan bersifat rasis,
kurang beradab dan kritikan melampau ke atas Institusi Diraja.
Dalam kuliahnya di masjid tersebut 7 Oktober lalu, Zamihan dikatakan
menyelar pendirian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
berkaitan isu dobi mesra muslim di negeri itu.
“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’,
dan ‘ini bukan negeri Taliban...’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam
itu,” kata Zamihan dalam rakaman video yang tular dan dimuat naik di
Youtube.
Zamihan kemudian memohon maaf kepada Sultan Johor, tetapi menyerang beberapa media sambil mendakwa dirinya difitnah.
Susulan ceramah kontroversi itu, Zamihan ditahan pada Rabu lalu dan
direman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4 (a)
Akta Hasutan.
Pendakwah itu dibebaskan pada Sabtu selepas permohonan polis untuk
melanjutkan perintah tahanan reman terhadapnya ditolak oleh mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan