Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berpendapat kenyataan persatuan itu untuk mendesak kerajaan membuka peluang kepada kaum Cina dan India dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah sangat terbuka tanpa sebarang niat untuk memburukan kerajaan.
Presidennya Brid Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji (gambar kanan) berkata,kenyataan media persatuan itu pada 19 Disember lalu, adalah pandangan yang sangat ikhlas.
“Ia adalah pandangan yang sangat ikhlas dari hari kami, untuk membantu mereka yang berkuasa berfikir secara mendalam tentang masalah ini.
“Iaitu berfikir bersama-sama dengan veteran, agar satu strategi yang lebih komprehensif dapat digunakan untuk menarik bukan Melayu untuk menyertai pasukan keselamatan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Arshad membalas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Hussein semalam, yang memberi amaran kepada kumpulan mesra-pembangkang untuk tidak menimbulkan sentimen kaum atau agama.
Hishamuddin turut menasihat dan memberi amaran kepada persatuan itu sekiranya mahu bermain dengan hal yang berbaur perkauman dan keagamaan mesti ada had dan batasannya.
“Ini amaran saya kepada mereka.
“Saya tahu bila dekat dengan pilihan raya, inilah perkara yang akan dibangkitkan dengan harapan kita berpecah.
“Dengan harapan politik kebencian akan memihak kepada mereka kerana mereka tiada agenda pendidikan, tiada agenda kesihatan, mereka tak bela pun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita,” ujar Hishammuddin kepada media selepas melawat Hospital Angkatan Tentera di Wangsa Maju semalam.
Menurut Arshad Raji lagi, ahli Patriot sangat cintakan kepada keamanan di negara ini. Ini kerana dikalangan ahli adalah veteran dan pegawai polis yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada keamanan hari ini.
“Kami pernah berjuang melawan musuh negara.Kami berkhidmat kepada Raja dan negara dengan bangga dan terhormat.
“Ada di kalangan kami yang telah ditembak dan mengalami kecederaan. Ada juga yang telah dianugerahkan dengan pingat-pingat keberanian.
“Kami sekali-kali tidak mahu melihat politik kebencian memusnahkan negara kita yang tercinta ini.
“Sekiranya negara kita berhadapan ancaman asing yang sebenar. Kami akan menjadi orang pertama yang akan memakai pakaian seragam dan menyandang senjata untuk maju ke barisan hadapan. Kami sangat mencintai Malaysia,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan