HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Disember 2017

Tidak perlu buka kedutaan di Baitulmaqdis jika sendirian, kata bekas diplomat

 
Bekas duta Yeop Adlan Che Rose berkata Malaysia perlu bertindak seiringan dengan negara Islam terbanyak jika mahu memberi kesan bermakna. 


yeop-Adlan-Che-Rose_baitulmagdis_600


PETALING JAYA: Malaysia tidak perlu membuka kedutaan di Baitulmaqdis hanya untuk mengiktiraf bahagian timur kota suci itu sebagai ibu negara Palestin, kerana sebarang tindakan bersendirian tidak akan memberi kesan yang diharapkan, kata seorang bekas diplomat.

Bekas duta Malaysia ke Argentina, Datuk Yeop Adlan Che Rose berkata Malaysia perlu bertindak seiringan dengan negara Islam terbanyak jika mahu memberi kesan bermakna.

“Kita nak ambil langkah bersendirian buat apa,” katanya kepada FMT hari ini. “Kalau negara Islam nak buat bersama barulah bermakna.”

“Malaysia kena sentiasa bersama dengan negara Islam yang lain barulah kita ada suara yang bermakna.”

Delegasi Malaysia diketuai Pedana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki, 12 Disember lalu bagi membincangkan tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Tindakan Presiden AS Donald Trump itu menterbalikkan dasar AS dalam konflik yang berlarutan sejak 1948, lalu menjejaskan peluang perdamaian melalui penyelesaian 2 negara, iaitu Palestin diisytiharkan sebuah negara berdaulat di samping Israel, dengan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka.

Setakat ini, hanya Turki bercadang untuk membuka kedutaan di timur kota itu sebagai respon kepada tindakan AS.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata keperluan Malaysia untuk membuka kedutaan besar di Palestin dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Sementara itu, Yeop Adnan bersetuju dengan saranan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Datuk Dr Ahmad Farouk Musa yang menyarankan umat Islam menyasarkan kemarahan terhadap Arab Saudi, selain menunjuk perasaan di kedutaan Amerika Syarikat.

“Arab Saudi baik dengan AS, Arab Saudi sokong AS. Maksud saya, lagi cepat kita sedar peranan Arab Saudi dalam hal ini, lebih baik untuk dunia Islam. Kita sendiri jangan dipermain,” tegasnya.

Tiada ulasan: