PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi mengesahkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan turut sama dalam
Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Putrajaya esok.
“Ada yang mewakili Amanah, ada mewakili PKR hadir esok,” katanya
selepas merasmikan kilang Datasonik Group Berhad, sebuah syarikat yang
membekalkan pasport, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kehadiran pemimpin PH dalam himpunan itu esok,
di tengah-tengah penafian segelintir pemimpin gabungan mengenai
keharian mereka.
Semalam Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang dipetik
portal FMT berkata, beliau berkemungkinan akan menolak jemputan Zahid
sebagai panelis forum khas solidariti selamatkan Palestin esok.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu malah mencadangkan
Zahid mewakili kerajaan pusat mengadakan sidang khas Parlimen bagi
membincangkan isu Palestin dan mengutuk tindakan Washington.
Menjawab mengenai perkara itu, Zahid berkata, pihaknya sudah mempunyai
wakil baru dari Amanah yang akan menggantikan Mujahid sebagai panelis
forum khas itu.
“Kita dah ada ganti dia (Mujahid) daripada parti dia yang sama.
“Biar (mereka) gaduh sama sendiri,” katanya merujuk perbezaan pandangan pemimpin PH berhubung himpunan itu.
Selain Mujahid, beberapa pemimpin pembangkang yang turut disenaraikan
sebagai ahli panel forum khas itu adalah Timbalan Presiden PAS, Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution
dan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk
Kamaruddin Mohd Noor.
Kamaruddin yang dihubungi Antarapos hari ini turut menyatakan pendirian
untuk tidak menghadiri himpunan berkenaan kerana tidak mendapat
jemputan.
Tambahnya, adalah tidak wajar untuk beliau hadir sebagai wakil PPBM sedangkan pemimpin tertinggi parti tidak diundang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan