KUALA LUMPUR: Guru yang terlepas daripada tuduhan mencederakan anak
muridnya, Azizan Manap atau lebih dikenali Cikgu Azizan hari ini
memaklumkan beliau akan menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri
(JPN) untuk membuat keputusan sama ada akan kekal bertugas di sekolah
yang sama atau sebaliknya.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Taman Semarak
itu berkata, buat masa ini tiada sebarang surat yang dikeluarkan dan
diserahkan kepadanya sebelum musim persekolahan akan berakhir tidak lama
lagi.
“Saya serahkan semuanya kepada JPN,” katanya dipetik portal Sinar Harian.
Sementara itu, portal itu turut melaporkan Timbalan Menteri Pendidikan
Datuk Chong Sin Woon memberi jaminan akan menghulurkan bantuan terbaik
bagi kedua-dua pihak.
Katanya, kes tersebut memberi impak besar kepada profesion perguruan dan ia perlu dilihat melalui pelbagai sudut.
Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa lalu, melepas tanpa membebaskan Azizan daripada dakwaan mencederakan anak muridnya.
Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas pendakwa
raya menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Azizan didakwa menampar seorang murid tahun lima, yang
didakwa terlibat dalam kes disiplin berat termasuk menghidu gam,
bergaduh, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah.
Kes ini menarik perhatian umum selepas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) minggu lalu menggesa guru-guru hadir di mahkamah untuk
memberikan sokongan dan solidariti kepada Azizan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan