Oleh Nur Atiqah Samad
KUALA SELANGOR: PAS tidak perlu mempersoalkan sama ada dasar yang
diamalkan oleh kerajaan negeri Selangor mengikut kaedah Islam atau
tidak, kata Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali, sebagai maklum balas
kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ujar Azmin, setiap program dan dasar yang dilaksanakan tidak perlu
dimomokkan dengan nama Islam, cukup sekadar agenda yang dilaksanakan
dengan berlaku adil dan tidak menzalimi rakyat.
Malah beliau menambah, PAS telah menerima dasar kerajaan negeri
Selangor sejak tahun 2008, dan mengakui kerajaan negeri Selangor
merupakan satu model yang baik.
“Jadi nak tukar apa? Yang saya sebut tadi, program KISS, Peduli Sihat,
air percuma, pembangunan, pengurusan kewangan yang berintegriti. Ini
semua menepati prinsip-prinsip Islam tapi tak payah la pakai label Islam
di dalam program-program. Tak payah labelkan KISS Islam atau projek
pembangunan Islam.
“Yang pentingnya prinsip keadilan sosial dan prinsip pengagihan adil
itu mesti dipertahankan jangan Negeri yang kaya tapi rakyat miskin itu
tidak adil itu zalim,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran
Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di Padang Awam Kampung Permatang
Kuala Selangor hari ini.
Semalam Hadi ketika di Himpunan Fastaqim 2.4 menyeru rakyat Selangor
untuk memilih parti yang bercirikan dan mengamalkan ajaran Islam,
sekaligus dapat menjadi contoh kepada negeri lain.
Katanya lagi, adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk mengutamakan
Islam terlebih dahulu dan berjuang memilih kerajaan yang berlaku adil
kepada semua.
Malah beliau memberi jaminan untuk berlaku adil kepada semua kaum di negeri ini sekiranya dipilih rakyat.
Azmin yang mengulas lanjut mengenai perkara itu tidak menganggap
kenyataan Abdul Hadi sebagai satu ancaman, sebaliknya menyerahkan kepada
rakyat dalam menentukan pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
“Kita kena yakin kemampuan rakyat untuk membuat keputusan. Apa yang
kita laksanakan ini adalah sebahagiaan usaha, cukup tempoh kita serahkan
mandat ini kepada rakyat biar rakyat yang menentukan masa depan negeri
Selangor.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan