DETIK DAILY
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap
kerajaan tidak memansuhkan skim pencen kerana beranggapan gaji yang
dibayar sekarang tidak mencukupi untuk menjadi tabungan masa hadapan
mereka.
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata Cuepacs amat berterima kasih
kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menambah pelbagai
insentif kepada pesara polis, baru-baru ini.
"Pada masa sama kerajaan juga diharap memberi pertimbangan yang sama
kepada pesara kerajaan yang lain kerana mereka juga perlu dibantu,”
katanya kepada pemberita selepas Taklimat Transformasi Perkhidmatan
Awam: Isu dan Cabaran Penjawat Awam di Kompleks Kota Darul Naim di Kota
Bharu hari ini.
Azih berkata buat masa sekarang terdapat kira-kira 750,000 pesara kerajaan di negara ini dan masih menerima pencen.
Pada masa yang sama, berdasarkan hasil kajian yang dilakukan Cuepacs
mendapati gaji penjawat awam tidak mampu menangani kos sara hidup yang
kini semakin meningkat.
Katanya apatah lagi sekiranya diambil isu kos untuk pembelian rumah
yang tidak boleh dianggap sebagai perkara kesampingan kerana setiap
orang yang ingin memulakan kehidupan berkeluarga, mesti memiliki rumah.
"Hari ini perkhidmatan penjawat awam kita diiktiraf di seluruh dunia
malah perkhidmatan penjawat awam kepada rakyat, negara dan kerajaan
memenuhi harapan yang diberikan.
"Berdasarkan itu, Cuepacs meminta perhatian kerajaan supaya memberi
pertimbangan atas cadangan dan tuntutan oleh Cuepacs berkaitan pemberian
kerajaan ke atas satu kenaikan gaji untuk penjawat awam,” kata Azih.
Beliau berkata Cuepacs berharap pemberian satu kenaikan gaji itu
didahulukan kerana ini sahaja cara membantu kedudukan pergajian mereka
dan membantu mereka untuk merancakkan industri hartanah negara.
"Banyak projek perumahan dilaksanakan kerajaan seperti Rumah Mampu
Milik, Rumah Prima, MyHome dan sebagainya tetapi dengan gaji mereka
sekarang masih tidak mampu membelinya," katanya.
Azih berkata adalah wajar dan bertepatan agar kerajaan memberi
pertimbangan satu insentif kenaikan gaji dan ini adalah harapan seluruh
kakitangan awam di seluruh negara pada awal tahun ini.
- Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan