DETIK DAILY
Dengan pelbagai kenangan dan peristiwa yang melatari hubungan mereka,
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak mudah untuk Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan penyokong ketua umum PKR itu menerima beliau sebagai calon
perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).
Dalam ucapannya di Konvensyen HARAPAN di Shah Alam hari ini Dr
Mahathir berkata walaupun pada zahirnya kedua-dua mereka berjabat tangan
tidak mudah untuk mereka menerima bekas musuh politik untuk menjadi
pemimpin.
Mengakui proses mendamaikan suasana itu memakan masa yang panjang Dr
Mahathir berkata kedua-dua pihak akhirnya mengalah demi mengutamakan
perjuangan mengubah kerajaan di negara ini.
"Bukan saja Anwar, malah keluarga beliau merasai kekangan. Mereka
menderita selama 20 tahun. Untuk melupakan peristiwa ini bukan mudah.
"Saya berasa amat terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada
Datuk Seri Anwar yang sanggup bekerjasama dengan pasukan ini - termasuk
saya - dalam usaha menyelamatkan negara bertuah ini," katanya disambut
tepukan gemuruh perwakilan yang memenuhi Pusat Konvensyen Ideal (IDCC)
itu.
Anwar mula dikenali sebagai aktivis mahasiswa sebelum menjadi pemimpin berpengaruh melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Diyakini bakal menyertai politik melalui PAS, Dr Mahathir membuat
kejutan apabila mengumumkan kemasukan Anwar ke dalam Umno pada 1982.
Beliau kemudian mendaki hierarki Umno dengan lancar sehingga
menduduki jawatan timbalan perdana menteri serta timbalan presiden Umno.
Kedua-duanya di bawah Dr Mahathir.
Bagaimanapun hubungan kedua-dua mereka menjadi retak sebelum terbelah
pada 1998 ekoran tuduhan salah laku seks serta rasuah yang menyaksikan
Anwar dipecat daripada parti serta kerajaan.
Pemecatan itu melahirkan gerakan reformasi yang menuntut pembaharuan
dalam negara serta menuntut Dr Mahathir berundur daripada jawatan
perdana menteri.
Dengar kecaman dulu
Anwar pula disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara.
Selepas hampir dua dekad berseteru, Anwar dan Dr Mahathir bersemuka
untuk kali pertama pada Sept 2016 dan bertolak dari situ mereka mula
mengadakan perbincangan dalam persiapan menghadapi BN dalam pilihan raya
umum (PRU) akan datang.
Mengikut perlembagaan, parlimen akan terbubar secara automatik pada
Jun ini untuk membolehkan PRU ke-14 diadakan. Namun biasanya kerajaan
akan membubarkan parlimen lebih awal.
Tidak seperti kebanyakan negara demokrasi, kerajaan Malaysia
merahsiakan tarikh pembubaran parlimen serta PRU sehingga ke saat-saat
akhir dan ia menyukarkan pembangkang membuat persediaan yang sepatutnya.
Kata Dr Mahathir di pihaknya juga tidak mudah untuk beliau menyertai
gerakan yang pernah menyebabkan rasa tidak senang kepadanya suatu ketika
dulu.
Pengkritiknya juga, kata Dr Mahathir, pernah menggelarnya dengan
pelbagai panggilan seperti maha zalim, maha firaun serta istilah lain
yang jelik.
"Tapi oleh kerana kita berusaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak,
saya sanggup dengar kecaman parti yang memusuhi saya dulu," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan