Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
SHAH ALAM: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan
menyimpan hasrat untuk Malaysia dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim
dan beliau sendiri sebagai pasangan suami isteri jika Pakatan Harapan
(PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pakatan pembangkang itu mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai
perdana menteri dan Wan Azizah sebagai timbalannya sehingga Anwar
mendapat pengampunan diRaja dan menggantikan Dr Mahathir.
Jika PH menang PRU14, percaturan itu membawa kemungkinan Anwar dan isterinya memegang dua jawatan tertinggi negara.
Di tanya kemungkinan senario itu berlaku, Wan Azizah berkata pihaknya
tidak berhasat mewujudkan keadaan sedemikian namun beliau enggan
mengesahkan secara jelas sama ada akan meletak jawatan bersama Dr
Mahathir jika Anwar menjadi perdana menteri.
"Kita masih belum sampai ke peringkat itu. Kita hanya memikirkan
mengenai PRU. Apabila sampai masanya kita akan memikirkannya. Tetapi
tidak ada perancangan untuk mewujudkan pasukan suami-isteri (untuk
pimpinan negara). Tidak ada," kata beliau pada sidang media selepas
Konvensyen PH kedua di sini.
Anwar memegang jawatan Ketua Umum dalam PKR dan PH manakala Wan Azizah adalah presiden bagi kedua-dua badan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan