KUALA TERENGGANU: Seorang guru besar didakwa di Mahkamah Sesyen di
sini, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat murid
sekolahnya berjumlah RM5,000 tiga tahun lalu.
Tertuduh, Zabidah Sulaiman, 58, yang ketika itu bertugas sebagai Guru
Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru 2 di Kemaman, didakwa
menyalahgunakan harta, iaitu wang zakat daripada Syarikat Ladang Rakyat
Terengganu.
Bagaimanapun, tertuduh yang ketika ini bertugas sebagai Guru Besar SK
Pasir Gajah, Kemaman, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, wang berkenaan yang diterima tertuduh
sepatutnya diberikan sebagai sumbangan kepada 100 murid sekolah
berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan
(Akta 574) pada 13 Julai 2015 di Bilik Mesyuarat Syarikat Ladang Rakyat
Terengganu Sdn Bhd, di Kemaman.
Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.
Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz kemudian menetapkan 11 Februari depan
untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000
dengan seorang penjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan