BENTONG: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong berkata Kapal
Seabed Constructor milik syarikat Eksplorasi dasar laut Ocean Infinity
Limited yang diberi tanggungjawab dalam misi pencarian pesawat Malaysia
Airlines MH370 kini berada di selatan Lautan Hindi.
Menurutnya, kapal tersebut memulakan misi pencarian pada 15 Januari
lalu dan disertai dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Dua pegawai yang mengikuti misi selama 90 hari itu akan memberikan laporan harian terus kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
"Kita berharap dapat mencari MH370 dalam tempoh terdekat. Misi ini
adalah misi yang penting, kerana kita nak selesaikan isu MH370.
"Kita nak cari jawapan dan apabila kita temui serpihan itu maka kita
boleh ada satu jawapan kepada mangsa keluarga," katanya dipetik Astro
Awani.
Beliau dalam pada itu berharap pihak yang diberikan tanggungjawab dapat
mencari serpihan pesawat terbabit yang meliputi kawasan pencarian
sepanjang 25,000 Kilometer Persegi dalam tempoh yang ditetapkan.
"Memang kita beri mereka 90 hari sahaja, mereka perlu sempurnakan
pencarian dalam tempoh itu. Kalau dalam tempoh 90 hari tak dapat cari
maka misi ini gagal.
"Kita harap misi ini berjaya dan mereka penuh yakin untuk mencari bangkai kapal terbang,"katanya.
Penerbangan MH370 hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke
Beijing pada 8 Mac 2014 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Sebelum ini, Australia, China dan Malaysia yang menyelaras dan
membiayai secara bersama operasi pencarian, telah menangguhkan misi
pencarian MH370 pada Januari tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan