Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Seorang ADUN Amanah Selangor mengalu-alukan tindakan Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali sekiranya Menteri Besar itu mengambil pendekatan
membekukan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat PAS di negeri ini.
Berkata kepada Antarapos, ADUN Morib, Hasnul Baharuddin menyifatkan
langkah tersebut sebagai sesuatu yang wajar memandangkan pendirian PAS
yang jelas mengumumkan mahu meletakkan calon mereka menentang Pakatan
Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Keputusan Menteri Besar nak bekukan peruntukan untuk ADUN PAS, saya
alu-alukan. Tapi tak pasti sama ada Menteri Besar mahu bertindak
sebegitu, saya tak pasti. Itu hak dia," katanya.
Hasnul merupakan bekas ADUN PAS, yang mengambil keputusan menyertai
Amanah ekoran krisis dalaman PAS pada 2015. Turut berbuat demikian
adalah ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.
Hasnul menambah, tindakan meneruskan peruntukan kawasan kepada ADUN PAS hanya akan mengundang padah buat PH.
"Wajar sangat sebab kita dalam menghadapi pilihan raya ini memang jelas
(di antara) Pakatan Harapan, Barisan Nasional dengan PAS. PAS dengan
sikapnya yang tak konsisten, kejap nak bersendirian, sekejap sokong
Umno. Maka hasilnya akan menyusahkan Pakatan Harapan juga.
"Kita bagi dia senjata suruh dia (PAS) tikam kita balik buat apa," katanya lagi.
Semalam, Azmin dalam kenyataannya berkata masalah peruntukan berkenaan
kemungkinan berpunca daripada kelewatan perbendaharaan negeri yang
mengambil sedikit masa dalam menyalurkan dana tersebut kepada pejabat
daerah.
Azmin turut memberi teguran kepada ADUN PAS untuk tidak mengheret pihak
Istana dan Sultan Selangor dalam isu berkenaan kerana ia merupakan
tindakan kebudak-budakkan.
Beliau sebaliknya menyarankan mana-mana ADUN PAS yang berdepan dengan
masalah berkenaan agar mengambil pendekatan berbincang dengan pegawai
daerah atau berjumpa sendiri dengannya.
Isu sekatan peruntukan kepada semua 13 ADUN PAS Selangor dan lima
penyelaras DUN oleh kerajaan negeri sudah mula bertebaran hujung tahun
lalu.
Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi, beliau diberitahu
oleh Bendahari Selangor bahawa segala peruntukan kawasan kepada wakil
rakyat PAS negeri dan penyelaras DUN telah disekat, dan adalah
dipercayai arahan itu daripada Azmin.
Justeru Sallehen berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan
menghadap Sultan Selangor jika isu pembekuan peruntukan kawasan kepada
wakil rakyat PAS tidak diselesaikan segera.
Namun menurut Sallehen, pihaknya akan meminta penjelasan Azmin terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan