ANTARAPOS
KUALA LUMPUR: Nilai ringgit yang kembali konsisten berada di bawah
paras RM4.00 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal
bulan ini turut disumbangkan oleh keyakinan pelabur-pelabur asing
terhadap kecemerlangan asas ekonomi Malaysia, bukan hanya kerana
kenaikan harga minyak dunia semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kekuatan ekonomi
negara membolehkan nilai mata wang itu mencecah paras terbaiknya dalam
tempoh 17 bulan pada 5 Januari lalu.
Katanya, prestasi itu dicapai hasil daripada pelbagai dasar dan program
transformasi untuk mengukuhkan kewangan kerajaan, meningkatkan
pendapatan rakyat serta mengubah struktur ekonomi lama yang tidak lagi
sesuai dengan keadaaan semasa, termasuk dasar-dasar berat sebelah yang
diperkenalkan oleh pemimpin terdahulu.
“Ringgit meningkat 10.4 peratus berbanding dolar AS pada 2017 dan pada 5
Januari 2018 nilainya berada pada kedudukan tertinggi dalam tempoh 17
bulan dan kembali kepada paras psikologi di bawah RM4.00.
“Peningkatan ini mungkin didorong oleh pemulihan harga minyak dunia,
tetapi ia juga memberi petanda bahawa terdapatnya sentimen positif dalam
kalangan pelabur-pelabur asing serta pengiktirafan mereka terhadap
ekonomi dan kewangan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Invest
Malaysia 2018 yang dihadiri lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada
ahli-ahli korporat tempatan dan asing di sini hari ini.
Najib juga menjelaskan kerajaannya tidak mengambil sikap lepas tangan
untuk menyelesaikan pelbagai isu berbangkit, khususnya berkaitan
syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
yang dijadikan modal politik oleh pembangkang untuk menjatuhkan
kerajaan.
“Terdapat beberapa pihak berusaha mensabotaj ekonomi negara dengan
mengaitkannya dengan syarikat milik kerajaan demi kepentingan politik
mereka. Anda semua tahu saya merujuk kepada 1MDB.
“Saya tidak akan mengabaikan perkara ini kerana sememangnya terdapat
kegagalan dalam syarikat ini yang perlu dirisaukan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk
menstruktur semula 1MDB dengan membangunkan aset-asetnya, mengurangkan
hutang syarikat termasuk melibatkan beberapa pemimpin pembangkang untuk
menyiasat pelbagai perkara mengenai syarikat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan