Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Masih terlalu awal untuk membuat spekulasi kononnya
peruntukan membabitkan ADUN PAS Selangor berdepan dengan masalah.
ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman memberitahu peruntukan untuk wakil
rakyat ini pernah masuk pada bulan Februari pada tahun-tahun sudah,
justeru beliau tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang perlu
dibimbangkan.
"Ini bukan benda baru. Sebab itu bagi saya pandangan serta ulasan
peribadi tidak perlu sebenarnya, termasuk dari pimpinan kita. Kita
tunggu macamana.
"(Awal tahun lepas) kelewatan itu ada. Kelewatan bajet kita biasa.
Januari lambat itu biasa (sebab) kadang-kadang ada sampai Februari.
(Sekarang) baru pertengahan Januari kan?," kata Khairuddin.
Beliau kemudiannya menggesa pimpinan PAS Selangor agar berjumpa dan
mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada Menteri Besar, Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali.
"Saya berharap PAS Selangor dapat duduk dengan menteri besar untuk
bincang hal kerusi ini dan bincang untuk pertahankan kerajaan. Kalau
kita serius nak bantu kerajaan dan kalau kita serius mahu salurkan
kekayaan kepada rakyat, saya rasa pimpinan PAS Selangor duduk dengan
pimpinan menteri besar, bincang elok-elok," katanya.
Pimpinan PAS Selangor sebelum ini mengesahkan 13 wakil rakyatnya di
Selangor belum memperolehi peruntukan daripada kerajaan negeri, sekali
gus memaksa sesetengah program mereka terpaksa dibatalkan atau dibiayai
dengan wang persendirian mereka.
Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad yang juga ADUN Cempaka berkata
beliau berpegang kepada kenyataan menteri besar bahawa peruntukan itu
tidak dapat disalurkan seperti kebiasaan kerana masalah teknikal dan
bukan kerana kepentingan politik.
Khairuddin kemudiannya mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pakatan
Harapan (PH) Selangor, Dr Xavier Jayakumar bahawa ADUN PAS tidak harus
menuntut peruntukan daripada kerajaan negeri jika nekad menentang
gagasan itu pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) akan datang.
"Pertama ini mandat PRU13, kedua ia adalah perkara ini sudah diluluskan
dalam sidang DUN. Ketika perbahasan, tidak ada pula bantahan-bantahan
wakil rakyat yang lain.
"Bajet yang diluluskan adalah bajet yang diluluskan dalam sidang dewan
(DUN Selangor), yang diperuntukkan kepada semua ADUN termasuk ADUN
Barisan Nasional (BN). Kita minta bantuan daripada menteri besar untuk
bantu kita (ADUN PAS). Segala pandangan Dr Xavier, itu pandangan
peribadi dia," kata Khairuddin.
Khairuddin buat kesekian kalinya menegaskan PAS Selangor tidak perlu mengheret istana dalam isu pentadbiran sebegini.
"Jangan heret istana dalam hal ini. Selesai dalam cara pentadbiran.
Lagi pun baru Januari. Jangan libatkan istana dalam isu pentadbiran.
Kita bincang dengan menteri besar," katanya ketika mengulas kenyataan
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi bahawa pihaknya tidak menolak
membawa isu itu ke pengetahuan Sultan Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan