Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: PAS tidak harus menuntut peruntukan daripada kerajaan negeri untuk wakil rakyatnya jika nekad mahu "berperang" dengan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14, kata Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PH Selangor berkata masalah
ADUN PAS di negeri itu mendapat peruntukan wakil rakyat harus di lihat
dalam konteks yang rasional.
"Saya tak berapa tahu bahawa peruntukan untuk PAS diberhentikan atau
sebagainya. Tapi pendirian saya, PAS perlu buat keputusan. Anda tak
boleh duduk dalam kerajaan negeri Selangor, kemudian anda kata dalam
pilihan raya nak bertanding di semua kawasan menentang PKR, Amanah dan
DAP.
"Pada masa yang sama, anda mahu juga peruntukan daripada kerajaan negeri. Tak boleh macam tu," katanya kepada Antarapos.
Xavier menambah, sebagai sebuah parti yang membentuk kerajaan negeri,
PAS sewajarnya mempunyai pendirian politik yang jelas lebih-lebih lagi
kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung tidak lama
lagi.
"Kita sudah sabar dan tunggu lama untuk mereka buat keputusan,
sekarang dalam 100 hari kita akan ada pilihan raya tapi mereka tak buat
keputusan apa-apa pun (nak sertai PH atau tidak)," katanya.
Xavier yang juga Naib Pengerusi PKR Selangor berkata terserah kepada
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuat keputusan
mengenai isu peruntukan berkenaan.
Desas-desus sekatan peruntukan kepada semua 13 ADUN PAS Selangor dan
lima penyelaras DUN oleh kerajaan negeri sudah mula bertebaran hujung
tahun lalu.
Pimpinan PAS Selangor mengesahkan 13 wakil rakyatnya di Selangor tidak lagi memperolehi peruntukan daripada kerajaan negeri, sekali gus memaksa sesetengah program mereka terpaksa dibatalkan atau dibiayai dengan wang persendirian mereka.
Pimpinan PAS Selangor mengesahkan 13 wakil rakyatnya di Selangor tidak lagi memperolehi peruntukan daripada kerajaan negeri, sekali gus memaksa sesetengah program mereka terpaksa dibatalkan atau dibiayai dengan wang persendirian mereka.
Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad yang juga ADUN Cempaka berkata
beliau berpegang kepada kenyataan menteri besar bahawa peruntukan itu
tidak dapat disalurkan seperti kebiasaan kerana masalah teknikal dan
bukan kerana kepentingan politik.
"MB kata bukan beku tapi ada masalah teknikal. Saya pegang dengan
kata-kata MB itu dan harap perkara dapat diselesaikan secepat mungkin.
"Sekarang program-program ADUN PAS terpaksa diberhentikan atau perlu menggunakan duit peribadi," kata beliau.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dilaporkan sebagai berkata,
pihaknya akan meminta Azmin mengadakan mesyuarat dengan mereka bagi
memperjelaskan mengapa peruntukan tahunan sebanyak RM800,000 kepada
wakil rakyat PAS belum diperolehi.
Sallehen juga tidak menolak kemungkinan pihaknya akan memohon
menghadap Sultan Selangor jika isu pembekuan peruntukan kawasan kepada
wakil rakyat parti itu tidak diselesaikan segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan