KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan
pihaknya ada menerima senarai calon parti politik untuk saringan
menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Namun Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, enggan mendedahkan parti mana yang berbuat demikian.
Tambah beliau lagi, pihaknya yakin lebih banyak lagi senarai calon akan diserahkan dalam tempoh terdekat.
"Mungkin mereka belum serah senarai kepada SPRM kerana calon parti politik berkenaan masih dalam penelitian pucuk pimpinan.
"Parti politik mana yang serah tidak perlu dimaklumkan... biarlah
rahsia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis lafaz Ikrar
Bebas Rasuah (IBR) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Kampung Baru Cina, di Wisma MCA, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dzulkifli menjelaskan, maklumat tambahan yang
diserahkan Parti Cinta Malaysia (PCM) mengenai isu terowong bawah laut
Pulau Pinang kini dalam penelitian lanjut agensi terbabit.
Beliau berkata, maklumat berkenaan lebih berkisar kepada proses
pembayaran penukaran hak milik tanah di Negeri Pulau Mutiara susulan
pelaksanaan projek mega terbabit.
"PCM bukan buat laporan kepada SPRM berhubung isu terowong bawah laut
Pulau Pinang, tetapi mereka berikan maklumat tambahan mengenai perincian
pembayaran tukar milik tanah susulan projek terbabit.
"Kalau ada asas, kita akan buka kertas siasatan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan selanjutnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan