Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno percaya rombakan
kerusi Parlimen yang bakal dilakukan Pakatan Harapan (PH) di Selangor
menjelang pilihan raya akan datang, adalah disebabkan gabungan itu sedar
mereka sedang kehilangan sokongan rakyat.
Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong
berkata, pakatan pembangkang itu terpaksa berbuat demikian demi
memastikan parti itu kekal menang di negeri terkaya berkenaan.
"Situasi sudah berubah, dan keadaan telah juga telah berbeza. Tentu
mereka tahu kedudukan dan penerimaan rakyat di kawasan yang mereka
wakili selama ini.
"Saya percaya bahawa perubahan yang kononnya akan dibuat ini, sudah
tentu mengambil kira perubahan situasi ini," katanya melalui aplikasi
WhatsApp kepada Antarapos hari ini.
Kelmarin, media melaporkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali dijangka tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak,
sebaliknya akan diletakkan di Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU14).
Selain itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pula dipindahkan dari Parlimen Ampang ke Hulu Langat.
Untuk rekod, kerusi Hulu Langat dan Shah Alam dimenangi PAS pada PRU13 yang ketika itu masih bersama-sama pakatan pembangkang.
Kerusi Parlimen Shah Alam dimenangi Khalid Abdul Samad atas tiket PAS
selepas beliau menewaskan calon BN Zulkifli Noordin dengan majoriti
10,939 undi. Khalid kini menyertai Amanah, parti serpihan PAS.
Sementara itu kerusi Parlimen Hulu Langat dimenangi Che Rosli Che Mat
juga daripada PAS yang mengalahkan calon BN, Adzhaliza Mohd Nor dengan
majoriti 17,267 undi.
Malah kata Annuar lagi, yang tidak menolak bahawa pemilihan kerusi
tersebut sudah mengambil kira faktor kebolehmenangan sesebuah kawasan
yang selesa buat calon berkenaan.
"Pastinya mereka mahu kawasan yang selamat apatah lagi kita tahu,
sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan mereka tidak
bekerja.
"Tentu mereka bimbang rakyat tidak menyokong mereka jika mereka kekal bertanding disitu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan