JELEBU: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin percaya pemilihan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH)
menang pada pilihan raya umum akan datang hanya akan mencetuskan
ketidakstabilan politik.
Khairy berkata, masyarakat dan pelabur luar tidak mengetahui selama
mana Pengerusi PPBM itu akan memegang jawatan nombor satu negara,
memandangkan sebelum ini terdapat ura-ura mengatakan beliau akan
memegang jawatan itu untuk sementara.
"Terdapat usaha daripada pembangkang untuk memohon pengampunan terhadap
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang sedang menjalani hukuman
penjara) untuk dibebaskan secepat mungkin untuk dijadikan sebagai
perdana menteri.
"Saya dengar tadi mereka (pakatan pembangkang) telah umumkan calon
perdana menteri dan seperti yang dijangkakan Tun Mahathir dan
timbalannya Datin Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail).
"Ini akan menimbulkan pergolakan dalam parti dan ini juga akan memberi
ketidakyakinan dalam kalangan pelabur (iaitu) selama mana Tun M akan
menjadi perdana menteri, dan bila Anwar akan mengambil alih sebagai
perdana menteri.
"Kalau saya jadi pelabur, saya akan berfikir dua tiga kali sebelum
membuat pelaburan besar sebab tak tahu apakah corak pentadbiran mereka,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya BN bagi Parlimen Jelebu, semalam.
Tambah Khairy, kebanyakan pelabur memilih untuk melabur di Malaysia
kerana kestabilan politik yang dimiliki negara hasil pentadbiran BN
kerana tidak perlu risau akan adanya rampasan kuasa dan kacau bilau.
“Kalau kita imbas peristiwa pada 1998, pergolakan negara berlaku
disebabkan antara Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) dan Anwar
(ketika itu dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir).
"Hari ini mungkin mereka bersahabat kerana mereka ada musuh yang
sama...pergolakan 1998 tak mungkin dilupakan begitu sahaja...ingat
senang ke Dr Mahathir nak bagi (jawatan perdana menteri) selepas enam
bulan atau setahun (pegang jawatan itu)...ingat senang Anwar nak sabar
nak tunggu untuk jadi perdana menteri," katanya.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata janji pembangkang
seperti untuk memberikan tol dan pendidikan percuma hanya sedap di halwa
telinga namun implikasinya akan menyebabkan negara menuju ke arah
muflis.
"Kalau pembangkang ambil alih negara dengan memberikan segala-galanya percuma, akan runtuhlah ekonomi negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan