DETIK DAILY
Oleh Arif Atan
Rata-rata pimpinan AMANAH yang ditemui selepas berakhirnya Konvensyen
Pakatan Harapan hari ini mengambil sikap berlapang dada selepas
menerima keputusan agihan kerusi Parlimen di Semenanjung yang paling
sedikit.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yakin akan memenangi kesemua 27 kerusi
Parlimen yang diperuntukkan kepada parti berkenaan pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU-14) nanti.
“InsyaAllah, kita akan menang semua (kerusi),” jawabnya ringkas sejurus turun dari pentas utama selepas selesai sidang media.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad pula
memberitahu parti berusia dua tahun tersebut berjaya memperoleh kerusi
Parlimen yang sebelum ini dituntut.
“Kita dapat kebanyakan kerusi (Parlimen) yang kita mahu. Dan kerusi
yang AMANAH dapat adalah kerusi yang berpotensi tinggi boleh menang,”
katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan menafikan kononnnya AMANAH
terpinggir dalam proses rundingan agihan kerusi dengan tiga sekutunya
yang lain.
Sebaliknya, beliau berpendapat keputusan tidak semestinya menyaksikan kerusi yang banyak ditandingi akan mampu dimenangi.
“Daripada jumlah kerusi yang banyak, belum tentu boleh menang. AMANAH dapat kerusi yang terbaik,” tegas Khalid lagi.
Perutusan yang diberi nama ‘Muafakat Pakatan Harapan’ itu menyaksikan
Bersatu membolot paling banyak kerusi Parlimen di Semenanjung iaitu 52
daripada 165 kerusi dan diikuti PKR sebanyak 51 kerusi.
Sementara itu, DAP diperuntukkan 35 kerusi manakala AMANAH hanya memperoleh 27 kerusi.
Tawar-menawar
Ditanya tentang peranan tawar-menawar AMANAH bersama rakan Pakatan
Harapan, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan pula berpendapat
partinya tidak hilang kuasa rundingan tersebut.
“Kita tidak hilang kuasa tawar menawar. Soal pembahagian kerusi ini
bergantung pada kekuatan parti. Kita tahu PRU-14 ini, undi Melayu adalah
undi penentu.
“Jadi, sudah tentu kita memberi peluang yang agak luas kepada Bersatu sebab kita tahu Bersatu ditubuhkan berteraskan Melayu.
“Oleh itu, sudah tentu Bersatu boleh menggantikan tempat Umno-BN
untuk menarik sokongan pengundi Melayu khususnya yang tinggal di luar
bandar,” jelasnya.
Sany turut menyifatkan rundingan pembahagian kerusi di peringkat
Dewan Undangan Negeri (Dun) dijangka akan memberi lebih ruang kepada
AMANAH.
“Ada satu lagi perbincangan kerusi di peringkat Dun. Saya difahamkan
di sinilah AMANAH akan memainkan peranan sangat penting berdasarkan
kekuatan jentera (pilihan raya) kita di peringkat akar umbi.
“Selama dua tahun ini, AMANAH bekerja kuat dan kekukuhan Pakatan
Harapan banyak digerakkan AMANAH. Peranan AMANAH terus di akar umbi
sekali gus membantu kemenangan calon Pakatan Harapan di peringkat
Parlimen,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan