HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Januari 2018

Ubah tempat mengundi untuk dapat faedah rakyat Pulau Pinang



Ubah tempat mengundi untuk dapat faedah rakyat Pulau Pinang



Ada di antara penduduk di sempadan negeri mengubah daftar pemilih masing-masing ke Pulau Pinang bagi mendapatkan faedah dan skim kebajikan ditawarkan kerajaan negeri itu.

Sehubungan itu, ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menasihati mereka agar tidak berbuat demikian sebaliknya bertindak ‘mengubah’ kerajaan jika mahukan faedah seperti dinikmati rakyat Pulau Pinang.

“Tak payah ubah daftar pemilih, ubah kerajaan cukuplah… anda akan dapat menikmati sumbangan ‘Emas’ ini tiap-tiap tahun,” ujarnya sejurus mengumumkan tarikh pembayaran Program Penghargaan Warga Emas Fasa 1 pada sidang media di Menara Komtar, hari ini.

Program pembayaran ‘Emas’ yang dipelopori kerajaan negeri Pulau Pinang cukup popular sehingga ada pihak yang mengubah daftar pemilih mereka ke negeri ini semata-mata untuk menikmati insentif berkaitan.
Menurut Guan Eng, program pembayaran ‘Emas’ itu adalah sebahagian daripada inisiatif Negeri Berkebajikan.

“Saya harap, negeri-negeri lain pun boleh mencontohi program kebajikan yang dibuat oleh (Kerajaan) Negeri Pulau Pinang dan Selangor… tidak perlu ubah daftar pemilih ke Pulau Pinang.

“Lagipun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu menghargai sumbangan warga emas yang telah membolehkan kita mencapai prestasi hari ini dengan pembangunan ekonominya, sosio-politik, lebih ceria dan berdaya huni,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mengumumkan bahawa penerima bayaran bagi Program Penghargaan Warga Emas tahun ini buat pertama kalinya dapat menikmati kenaikan 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kenaikan sumbangan daripada RM100 kepada RM130 ini adalah pengiktirafan kejayaan tadbir urus CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus) kepada rakyat Pulau Pinang dalam meneruskan dividen anti rasuah.

“Pembayaran Fasa 1 ini melibatkan 174,247 individu dengan kos RM22,652,110 dan dibuat dalam dua sesi iaitu pada 20 hingga 26 Januari 2018 bagi pembayaran khas KADUN Penaga, Berapit dan Datuk Keramat.

“(Dan) pembayaran biasa pada 27 dan 29 Januari 2018 di 28 cawangan Maybank terpilih bermula pada jam 10 pagi hingga 3 petang, manakala Fasa 2 pula adalah pada 10 dan 11 Februari 2018 nanti,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih

Tiada ulasan: