HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 April 2019

Dalam ambulans pun sempat cabul pesakit

Nurul Hidayah Bahaudin
 
 


PEKERJA kafe wanita dicabul di dalam ambulans oleh pembantu perubatan ketika dalam perjalanan bagi mendapatkan rawatan dari universiti awam menuju ke Hospital Selayang, di Gombak, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan dibuat majikan mangsa berusia 51 tahun yang memaklumkan pekerjanya berusia 18 tahun dicabul pembantu perubatan berkenaan.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan pengsan dan dibawa ke klinik berhampiran pada 7.30 malam.
Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Selayang dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

“Sebaik tiba di hospital itu, majikan mangsa menemuinya dalam keadaan menangis sebelum memaklumkan dia dicabul oleh pembantu perubatan di dalam ambulans berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arsad berkata, mangsa memberitahu ketika berada di dalam ambulans itu, dia dalam keadaan sedar, namun lemah.

“Mangsa memaklumkan dia dihampiri suspek yang bertindak mencabul kehormatan mangsa. Ketika ini, mangsa masih menerima rawatan di Hospital Selayang.

“Ekoran laporan itu, kami menahan suspek berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu perubatan di pusat perubatan swasta, semalam,” katanya.

Katanya, suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 27 April nanti bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Tiada ulasan: