PETALING JAYA: Najib Razak hari ini persenda keputusan kerajaan Pakatan Harapan menghidupkan semula projek Bandar Malaysia, dengan syarat “100%” sama yang kerajaan Barisan Nasional buat dulu.
“Pembeli termasuk syarikat China juga sama. Pecahan kepentingan pemilikan sama. Harga juga sama.
“Malah kontrak yang digunakan juga sama seperti yang ditandatangan masa BN,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Putrajaya mengumumkan projek yang dihentikan sejak Mei 2017 itu diteruskan selepas mendapati kerajaan turut mempunyai saham dalam syarikat pemaju projek berkenaan, dan bukan sepenuhnya milik China.
Kerajaan menjangkakan Bandar Malaysia akan memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia, mampu menarik pelaburan langsung asing, boleh menjana nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion, dan menjadi hab global bagi menarik institusi kewangan antarabangsa, teknologi dan firma keusahawanan yang berimpak tinggi.
Najib berkata “tohmahan-tohmahan” yang PH pernah lontarkan terhadapnya dan BN boleh dikitar semula terhadap gabungan itu.
“Jual negara ke, projek songlap ke, tunduk kepada China ke, semua boleh pulangkan ke PH,” katanya.
“Ramai yang kini rasa mereka telah dihasut dan dipergunakan oleh PH pada masa dahulu.”
Keputusan meneruskan projek Bandar Malaysia dibuat seminggu selepas kerajaan mengumumkan akan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Najib menjangkakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng perlu tampil mengumumkan kos projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) naik semula, dengan tambah balik 2 stesen dan terowong bawah tanah untuk Bandar Malaysia.
Bekas perdana menteri itu juga menjangkakan kerajaan akan perlu berunding semula dengan kontraktor MRT2.
“Perancangan kerajaan BN dulu sudah baik. Buat apa PH kacau?” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan