HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 April 2019

Pengambilan semula udara Johor akan bermula secara berfasa, kata menteri

Loke Siew Fook.
JOHOR BAHRU: Proses pengambilan semula ruang udara di sebelah selatan Johor yang diletakkan bawah jagaan Singapura sejak 1974, akan bermula secara berfasa.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata Malaysia ketika ini mempunyai banyak pelaburan dalam sistem kawalan trafik udara dan radar yang membolehkan hasrat mengambil semula ruang udara itu dilaksanakan.

“Memang kita dengan Singapura sudah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat tinggi untuk mengumumkan OLOA 1974 (Surat Perjanjian Operasi di antara Kuala Lumpur dan Pusat Kawalan Kawasan Singapura Mengenai Ketibaan, Keberangkatan dan Penerbangan Singapura 1974).

“Sudah tentu pada 1974, Malaysia belum lagi bersedia sepenuhnya dari segi peralatan, radar dan sebagainya. Selepas 45 tahun, dari 1974 sehingga sekarang, kita ada banyak pelaburan dari segi sistem kawalan trafik udara, radar dan Pusat Trafik Udara di Sepang yang sedang dibina juga akan siap dalam beberapa bulan akan datang.

“Kita dah bincang dengan Singapura dan setuju untuk tubuh jawatankuasa. Kita bagi tahu cadangan kita untuk ambil ruang udara kita secara berfasa-fasa dan akan diumum kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan taklimat berhubung projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru bersama wakil rakyat yang terlibat dengan projek itu, di tapak projek Kempas Baru, di sini hari ini.

Pada 9 April lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia berhasrat mengambil semula ruang udara di sebelah selatan Johor yang diletakkan di bawah jagaan Singapura sejak 1974.

Beliau berkata Malaysia berhasrat supaya ia dapat dilaksanakan dalam tempoh masa antara akhir 2019 sehingga 2023.

Tiada ulasan: