HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 April 2019

Putrajaya tubuh pasukan petugas 1 juta peluang pekerjaan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapan sebelum 
merasmikan Festival Belia Pulau Pinang di George Town, hari 
ini. (Gambar Bernama)
 
GEORGE TOWN: Kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas untuk memastikan sejuta peluang pekerjaan berkualiti disediakan kepada belia dalam tempoh 5 hingga 10 tahun bagi mengatasi masalah pengangguran.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pasukan petugas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad itu diluluskan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“Pada mesyuarat Kabinet itu, saya telah usulkan beberapa isu berkaitan belia, terutama memastikan peluang pekerjaan bermutu untuk golongan belia dan jemaah menteri meluluskan satu pasukan petugas khas untuk mencipta sejuta peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan berkenaan.

“Pasukan petugas itu antara usaha kami untuk tunaikan janji manifesto Pakatan Harapan,” katanya selepas merasmikan Festival Belia Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau berkata, uniknya pasukan petugas itu bukan sahaja diwakili anggota Kabinet, tetapi akan disertai tokoh korporat yang sekian lama menjana puluhan ribu peluang pekerjaan di Malaysia.

Syed Saddiq berkata, pihaknya juga memerlukan bantuan dan sokongan sektor swasta untuk membantu pasukan petugas itu menyediakan sejuta peluang pekerjaan kepada belia dan beliau percaya perkara itu dapat dicapai.

“Kerajaan memandang serius soal menyediakan peluang pekerjaan untuk belia kerana mereka merupakan golongan yang akan membangunkan negara pada masa depan, sebab itu kita perlukan sokongan daripada pihak swasta dan tokoh korporat untuk bersama mencipta peluang pekerjaan berkualiti.”

Katanya, menerusi pasukan petugas itu juga, pihaknya akan menjalankan kajian bagi memastikan permulaan gaji bagi lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dapat dinaikkan daripada RM1,400 kepada RM1,800.

Beliau berkata, kajian Bank Negara mendapati tenaga kerja berkemahiran masih menerima permulaan gaji sama dan statik sejak 20 tahun lalu sehingga menjejaskan lepasan TVET.

“Mereka bukan minta banyak sangat hingga RM6,000 hingga RM7,000 untuk permulaan kerja, sebaliknya berilah gaji yang lebih bermaruah.

“Namun, lambakan pekerja asing merupakan punca utama gaji sektor berkenaan masih statik. Jadi, pasukan petugas berkenaan akan membincang serta mencari jalan penyelesaiannya.”

Tiada ulasan: