HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 April 2019

Tempias ekonomi PD ke Rantau - Anwar


Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
 
 


KAWASAN Rantau akan dipastikan turut menerima ‘tempias’ kesan pembangunan ekonomi di Port Dickson kerana terletak bersebelahan parlimen itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa projek baru pelancongan akan dibangunkan di Port Dickson dan ia akan diperluaskan ke kawasan bersebelahan termasuklah Rantau, sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk.

“Kita dapat beberapa projek baru pelancongan, taman tema dan industri yang sedang dalam proses kelulusan.

“Kita ada perumahan rakyat dan pusat latihan pekerjaan, jadi saya ingat pembangunan ini harus dipasarkan dan diperluaskan supaya tidak hanya tertumpu kepada daerah Port Dickson, tetapi melingkungi kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Taman Sri Ramai, Rembau, malam tadi.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, usahanya itu bagaimanapun bukanlah bermaksud Rantau harus dimenangi PH sebagai syarat menerima ‘tempias’ ekonomi itu.

“Tapi kalau dia (Dr Streram) menang (PRK DUN Rantau), dia adalah seorang individu yang saya boleh bekerja secara terus, ini akan menjadi satu kelebihan.

“Sebelum ini pun saya sudah umumkan lebih awal pembangunan di Port Dickson akan dilibatkan sekali ke Rantau dan Melaka,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Anwar berjanji akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk di Rantau melalui kesan pembangunan pesat di Port Dickson.


Tiada ulasan: