AGENDA DAILY
Akar umbi PKR menolak kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tetapi sedia menerima UMNO.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan, Datuk Ismail Ahmad berkata, keputusan menolak kerjasama dengan Dr Mahathir dibuat menerusi usul yang dibawa ke mesyuarat tahunan cawangan masing-masing.
“Usul kami sebulat suara iaitu menolak kerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad dan parti yang bersekongkol dengannya. Kami sudah beri dia cukup ruang, peluang dan kesempatan tapi kami tidak boleh lagi percaya, bak kata orang jangan jatuh lubang yang sama dua kali, cukuplah itu sebagai satu pengajaran.
“Saya ingat, boleh dikatakan majoriti cabang juga membuat usul yang sama, bukan di Negeri Sembilan sahaja tapi di seluruh negara. Cukupkah sekali kita beri ruang, yang meruntuhkan Pakatan Harapan bukannya orang luar tapi orang dari dalam yang kita berikan kepercayaan,” katanya.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Labu bagaimanapun berkata, akar umbi sedia bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRU15.
“Hasil maklum balas ahli di peringkat akar umbi juga tiada masalah jika ada kerjasama di antara PKR dan UMNO sekiranya itu boleh membawa keadaan yang lebih baik kepada negara.
“Dalam politik ini tiada benda yang tidak boleh berlaku, tiada yang mustahil untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang memikirkan kepentingan dan juga kebajikan rakyat seluruh negara,” katanya.
“Saya di peringkat pimpinan negeri juga saya rasa tiada yang mustahil sekiranya itu (kerjasama dengan UMNO) boleh memberikan kesan positif kepada kemajuan negara, tiada masalah. Kami tiada masalah, ahli juga tiada masalah yang penting ekonomi kita menjadi lebih baik, kerja-kerja boleh diwujudkan dan pelabur masuk.
“Kemungkinan itu boleh sebelum pilihan raya atau selepas pilihan
raya, itu pandangan saya. Kalau boleh selesai sebelum pilihan raya,
kerajaan pada hari ini dapat kita betulkan segera,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan