PETALING JAYA: DAP menangguhkan kongres kebangsaan parti itu ke satu tarikh akan dimaklumkan kemudian susulan peningkatan penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata parti itu juga memutuskan untuk menunda Konvensyen Biasa Negeri bagi Sarawak, Sabah, Labuan, Perlis dan Selangor.
“Ibu Pejabat Kebangsaan DAP telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) semalam untuk memohon menundakan tarikh kongres berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Anthony berkata, Kongres Kebangsaan DAP sepatutnya diadakan pada 20 Jun ini dan notis pemakluman sudah dikeluarkan kepada cawangan DAP di seluruh negara.
“Namun, pelaksanaan PKP 3.0 sehingga 7 Jun dan kemungkinan dilanjutkan menyebabkan kongres tersebut sukar untuk diadakan pada tarikh ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun, bagi konvensyen negeri yang sepatutnya diadakan dalam tempoh beberapa minggu ini, ia terpaksa ditunda kerana semua bentuk mesyuarat dan perhimpunan dilarang dalam tempoh PKP seperti diputuskan dalam garis panduan Majlis Keselamatan Negara.
“Justeru, kami memohon kepada Menteri Dalam Negeri dan JPPM untuk membenarkan Kongres Kebangsaan DAP dan semua konvensyen biasa negeri yang tertangguh diadakan pada suatu tarikh selepas PKP dilonggarkan dan pergerakan rentas negeri dibenarkan.
“Maklumat lanjut berkenaan penundaan tarikh ini akan diumumkan selepas Ibu Pejabat Kebangsaan DAP menerima maklum balas daripada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya.DAP sebelum ini mendapat kebenaran JPPM untuk menangguhkan kongres parti itu yang sepatutnya berlangsung 20 Disember tahun lalu kepada selewat-lewatnya 30 Jun ini. Bagaimanapun, ia ditunda sekali lagi susulan PKP 3.0.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan