HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Mei 2021

Guna apa sahaja strategi selesai krisis Palestin, Israel – Dr. Mahathir

Oleh MOHD. FADHLI SULAIMAN

KUALA LUMPUR: Malaysia harus menggunakan apa sahaja strategi bagi memastikan siri keganasan zionis Israel terhadap Baitul Maqdis, Palestin berakhir.

Caranya adalah menggunakan pendekatan menjalin hubungan persahabatan dengan negara lain walaupun berbeza fahaman agama dan mengurangkan permusuhan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini diyakini dapat menambah kekuatan jika jalinan kerjasama terbentuk dalam usaha melawan kekejaman Israel memandangkan bekalan persenjataan pertahanan negara ini masih bergantung dengan negara luar.

“Baitulmuqaddis bukan sahaja diduduki orang Islam tetapi ia menjadi pusat agama bagi Kristian dan Yahudi. Jadi, ada juga orang Kristian yang tidak mahu menyerahkan Baitul Maqdis kepada Yahudi kerana ia adalah kawasan ibadah mereka.

“Kalau kita (orang Islam) bekerjasama dengan orang Kristian yang turut tertekan di situ, saya nampak negara-negara Kristian juga mengambil berat (soal ini).

“Tapi kalau kita bermusuh dengan semua orang, maka, orang di negara Kristian, (apabila orang Islam) bila berada di negara mereka dan kita lakukan keganasan, maka mereka juga memusuhi kita. Apa yang berlaku, kita malah menambah musuh dan bukan menambah kawan,” katanya semasa Dialog Tiga Penjuru Episod 7 bertajuk Di Sebalik Senyuman Hamza yang disiarkan di saluran televisyen swasta malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya moderator bagaimana membawa isu keganasan di Palestin di mata dunia untuk tindakan segera bagi mengutuk serangan Israel dan memastikan hak rakyat di Palestin terbela.

Sesi bual bicara itu turut disertai oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk. Afifi Al-Akiti.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan berhubung konflik antara Israel yang terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza, Palestin sehingga hari ini.

Ketegangan antara kedua-dua negara tersebut yang bermula sejak Isnin minggu lalu, semakin meningkat sehingga Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.

Siri keganasan itu meletus selepas konflik Israel-Palestin meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang penduduk Palestin.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut menegaskan negara Islam di seluruh dunia perlu bersatu dalam hal berkenaan dengan tidak sesekali berbaik dengan Israel dalam aspek hubungan perdagangan dan tidak membenarkan Israel melintasi ruang udara negara-negara Islam.

“Ini boleh dilakukan. Untuk menghalang Israel tanpa (bantuan) negara lain dalam menjayakan (usaha) kita adalah satu angan-angan sahaja. Mereka takkan ubah cara kerana kita (Malaysia) sebagai negara lemah dan tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Mengulas berkenaan istilah provokasi oleh kerajaan Hamas yang seringkali digunakan Israel untuk menunjukkan negara haram itu sebagai mangsa keadaan, sedangkan Israel adalah pencetus kepada peperangan, beliau berkata, ia hanya alasan agar Israel dapat menawan Palestin sepenuhnya termasuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai wilayah Israel.

“Pada masa hadapan, percayalah, Israel akan merobohkan Masjid Al-Aqsa untuk mendirikan kuil sebagai rumah ibadah mereka. Ini tidak akan selesai. Saya percaya akan ada lagi sama ada provokasi atau tidak, tindakan Israel hanya untuk menawan Palestin.

“Bukan sahaja Masjid Al-Aqsa, Sheikh Jarrah yang pekan kecil juga diambil mereka dan menghalau orang Palestin kerana kononnya 3,000 tahun dahulu ia milik Israel.

“Sebelum adanya Masjid Al-Aqsa, mereka mendakwa sudah di situ jadi mereka ambil tindakan sebab itu mereka beralasan kawasan ini sebagai tempat mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: