HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Mei 2021

Kecelikan politik perlu ditingkatkan di sekolah, kata pakar di saat Undi 18 ditunda

Farhira Farudin

Pakar pendidikan sains politik mendesak kerajaan memanfaatkan kelewatan pelaksanaan Undi 18 untuk membantu golongan belia menjadi lebih sedar dan cakna politik.

Pendidikan politik kenegaraan perlu ditingkatkan dalam kalangan belia supaya mereka memahami hak dalam menentukan pentadbiran. Gambar: Bernama

Beberapa pakar menggesa supaya silibus sekolah kebangsaan dibaik pulih bagi meningkatkan kesedaran politik dalam kalangan belia walaupun ketika ini pelaksanaan Undi 18 atau langkah untuk menurunkan had usia mengundi pada usia 18 ditunda.

Undi 18, pendaftaran pemilih automatik dan penurunan usia layak untuk bertanding pilihan raya diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai 2019.

Sebelum ini, ia dijangka akan dilaksanakan pada Julai tahun ini.

Namun, pada Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata bahawa ia akan dilaksanakan hanya selepas 1 September 2022.

Walaupun pelaksanaannya ditunda, pakar-pakar pendidikan sains politik mencadangkan agar silibus di sekolah kebangsaan diubah untuk membantu belia menjadi lebih sedar berhubung politik kenegaraan.

Seorang pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Rabi’ah Aminudin berkata silibus pendidikan sivik juga harus diperluaskan supaya ia turut menerapkan nilai-nilai dan tugas kewargaan di Malaysia.

Rabi’ah berkata pelajaran dengan penekanan dua aspek tersebut akan menjadi asas dalam membantu para belia memahami hak mereka untuk mengundi dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau memperingatkan bahawa usaha penerapan aspek tersebut dalam silibus tidak seharusnya dipengaruhi kecenderungan politik.

“Kecelikan politik dalam silibus tidak diberi perhatian yang cukup, terutama dalam kurikulum kita,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kita perlu pastikan kelas-kelas pendidikan sivik kita menyediakan platform kepada para belia untuk mereka berkongsi keprihatinan mereka.

“Ada keperluan supaya mereka dilibatkan dengan cara yang lebih tersusun sehingga mereka dapat mengadakan perbincangan yang informatif mengenai hak dan tugas mereka dalam masyarakat.”

Mengakui bahawa ramai dalam kalangan generasi muda lantang di media sosial mengenai politik negara, namun beliau berkata keadaan tersebut tidak mewakili majoriti belia di seluruh negara.

Beliau turut menambah bahawa ramai lagi belia yang tidak memiliki akses-akses yang diperlukan untuk mereka lebih celik politik berikutan beberapa isu termasuk kekangan sosial.

Bagaimanapun, katanya, ramai ibu bapa lebih suka anak-anak mereka fokus kepada pelajaran mereka.

“Sangat ideal jika kita ada ibu bapa yang turut berusaha meningkatkan kesedaran politik di pemikiran anak muda kita,” katanya.

“Belia memerlukan teladan untuk mereka sedar bahawa mereka boleh menjadi faktor perubahan dalam negara, dan mereka mampu buat perubahan.”

Menurutnya, isu yang paling membimbangkan ketika ini adalah jurang kecelikan politik yang semakin meningkat dalam kalangan belia.

“Ada kumpulan belia yang benar-benar maju dari segi kecelikan politiknya, mereka terdedah bukan hanya kepada politik domestik bahkan isu-isu politik global.

“Namun, sejumlah besar belia mungkin tidak memiliki akses yang sama.”

Pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia Mohd Irwan Syazli Saidin berkata sukatan dan silibus pendidikan ketika ini lebih menumpukan sejarah politik daripada aspek asas masyarakat yang demokratik.

Beliau berkata pelajar bukan sahaja tidak diajar mengenai isu-isu politik, malahan, mereka juga tidak digalakkan mengambil bahagian.

“Kita mengehadkan penyertaan politik dalam kalangan pelajar kita di sekolah dan universiti.

“Sedangkan, ini tidak berlaku di negara-negara maju,” katanya.

“Di Malaysia, sekiranya pelajar terlibat dalam politik, orang anggap ia sebagai ancaman. Seolah-olah bagi golongan muda, politik adalah sesuatu yang tidak boleh dibincangkan. Pelajar diberitahu bahawa mereka harus memilih antara tumpu pelajaran atau politik.

“Saya tidak setuju dengan mentaliti seperti ini,” jelas Irwan.

Dengan penundaan pelaksanaan Undi 18, Irwan mencadangkan kerajaan perlu merebut peluang untuk meningkatkan penglibatan belia dalam bidang politik.

“Undi 18 adalah masa untuk kita libatkan orang muda dalam proses membuat keputusan,” tambahnya.

“Sama ada mereka bersedia atau tidak, laksanakan dulu.”

Menurut Irwan, selagi Undi 18 ditangguhkan pelaksanaannya, orang ramai akan terus meragui kemampuan belia dalam membuat keputusan.

Elisa Shafiqah Shahrilnizam, seorang pelajar di Universiti Malaya, berkata bahawa dia mendorong rakan-rakannya untuk menggunakan media sosial sebagai platform dalam meningkatkan kefahaman dalam hal-hal politik negara.

“Bagusnya ada media sosial ini, kita dapat sebarkan maklumat mengenai kecelikan politik dengan cepat,” kata Elisa yang berusia 19 tahun kepada MalaysiaNow.

“Orang muda dapat mengikuti perkembangan semasa yang dilaporkan wartawan dan NGO yang memberikan liputan mengenai isu-isu semasa.”

Walaupun Elisa merupakan pelajar sepenuh masa, dia turut meluangkan masa untuk terlibat dalam program advokasi politik melalui penyelidikan bersama Malaysian Youth for Education Reform (MYER).

Dia berkata usaha ini dapat membantu meningkatkan kecelikan politiknya walaupun terdapat keraguan oleh generasi lebih tua mengenai kematangan usia mereka untuk mengundi.

“Hak kita untuk mengundi dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan kita tidak boleh menolak hak tersebut.

“Bahkan pada generasi sebelum ini, majoriti rakyat mungkin buta politik tetapi mereka masih diberi hak untuk mengundi. Mengapa mereka yang tidak layak diberikan hak untuk mengundi?

“Menanamkan kesedaran politik yang lebih baik akan membolehkan kita untuk memahami struktur negara dengan lebih bagus, bukan hanya selama tempoh pilihan raya bahkan sepanjang tempoh pentadbiran,” tambahnya.

Tiada ulasan: