HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Mei 2021

Kedah sokong perjuangan Palestin, sumbang RM200k

HARAKAH DAILY

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah memberi komitmen akan menyumbang RM200,000 kepada #Aid4Palestine sebagai tanggungjawab agama, persaudaraan dan kemanusiaan sejagat bersama rakyat Palestin.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, seluruh umat Islam wajib bersama-sama menghulurkan bantuan bagi merawat derita dan kepayahan rakyat Palestin yang sedang diganyang oleh regim Zionis Israel.

“Luka umat Islam dan kehancuran kemanusiaan sejak 1948 itu kini berdarah lagi, malah makin membesar sejak beberapa hari lalu bersabit kekejaman terbaru regim Zionis ke atas rakyat Palestin di Masjidil Aqsa dan Semenanjung Gaza.

“Walaupun sumbangan ini kecil dan jauh daripada mencukupi untuk membantu mereka, sekurang-kurangnya ia manjadi tanda kebersamaan Kedah dan seluruh rakyat Malaysia bersama perjuangan rakyat Palestin menghadapi penjajahan dan kekejaman regim Zionis Israel.

“Hal ini tidak boleh dipandang sepi begitu sahaja. Adalah menjadi kewajipan kita di negeri ini untuk menghidupkan persaudaraan dan menyuburkan kemanusiaan,” ujar beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Sanusi semasa menjawat sebagai Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) pernah mengetuai Misi Kemanusiaan Gaza PASRelief ke Palestin berikutan serangan Israel pada Mei 2019 dahulu.

Bagaimanapun, usaha delegasi Malaysia itu terhalang untuk memasuki Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir, namun sumbangan sebanyak RM250,000 daripada PASRelief berjaya diserahkan kepada pihak HAMAS.

Malah, Sanusi diawal pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah telah menyatakan akan sentiasa dan akan terus bersama denyut nadi rakyat Palestin yang sedang berjuang lebih 70 tahun mempertahankan negara itu dari jajahan Israel.

Penegasan tersebut dizahirkan beliau ketika menerima Kunjungan Hormat Duta Palestin Ke Malaysia, Walid Abu Ali di pejabatnya di Wisma Darul Aman pada 9 September tahun lalu.

Perbincangan beliau dengan Duta tersebut banyak berkisar mengenai penjajahan rejim Zionis Israel ke atas negara Palestin yang belum berakhir.

“Abu Ali telah membawa berita-berita terkini terutamanya mengenai ‘Normalisasi’ dengan Israel yang dianjurkan oleh UAE baru-baru ini dan pihak Kerajaan Negeri telah meneliti perkembangan ini secara dekat.

“Walaupun Kerajaan Negeri tidak memiliki fungsi hubungan antarabangsa kerana ianya milik Kerajaan Persekutuan sepenuhnya, namun begitu kita akan memberi bantuan dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Saya menzahirkan sokongan padu dari rakyat Kedah terhadap perjuangan rakyat Palestin yang tidak berbelah bahagi untuk keamanan dan kemerdekaan mereka yang perlu dicapai sejak ianya dijajah mulai tahun 1948 dan 1967 dahulu,” katanya.

Semalam, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan penubuhan Sekretariat #Aid4Palestine melibatkan kerjasama lebih 40 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Jelas beliau, sekretariat dipengerusikan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi itu adalah bagi mengambil tindakan proaktif dan segera membantu perjuangan Palestin menerusi kempen kesedaran dan penyelarasan kutipan dana melalui kaedah ‘crowfunding‘.

“Intifada di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin,” ujarnya beliau yang juga Presiden PAS.

Katanya, selain daripada terus berdoa dan memberikan tekanan kepada rejim Israel melalui pelbagai cara, umat Islam juga boleh membantu perjuangan rakyat Palestin dengan cara memberikan infaq dan sumbangan.

Mensasarkan kutipan RM1 juta menerusi ‘crowdfunding‘ itu, pihaknya menerima komitmen awal RM350,000 hasil kutipan terkumpul daripada NGO PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia.

Menurutnya, kutipan fasa kedua dengan minima RM650,000 akan dibuka sehingga 30 Syawal. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: