AGENDA DAILY
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang patut mendengar nasihat Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dato Dr Teo Kok Seong, supaya menghentikan politiking berkaitan pandemik Covid-19.
Kit Siang sepatutnya bekerjasama membantu negara, bukan menuding jari kepada mana-mana pihak berikutan jumlah kes kematian yang melebihi 2,100 yang didakwanya disebabkan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Anggota DAP berusia 80 tahun itu hari ini menuding jari menyalahkan kerajaan PN dengan angka kematian yang tinggi sambil membandingkannya menjelang Pakatan Harapan (PH) tumbang di mana tidak ada kematian yang dicatatkan daripada wabak Covid-19.
“Sekiranya persoalan ditanya pada waktu kita mula berhadapan dengan wabak Covid-19 ini 17 bulan yang lepas, apa yang patut dibuat dengan kerajaan yang membiarkan setengah juta rakyat dijangkiti Covid-19 dengan lebih daripada 2,100 mati akibat wabak ini.
“Jawapannya pastilah kerajaan ini tidak layak untuk berkuasa dan mestilah ditukar,” dakwa Kit Siang seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.
Sementara itu, memetik MalaysiaGazette, Kok Seong dilaporkan berkata adalah tidak wajar dalam usaha kerajaan bekerja keras melaksanakan pelbagai langkah mengekang pandemik Covid-19, ada pihak yang terus membuat tohmahan.
“Pandemik ini bukan sahaja melanda Malaysia, ia malapetaka dunia. Oleh itu, tidak wajar kerajaan yang bekerja kuat untuk memeranginya, dibebankan lagi oleh tohmahan daripada pihak yang mahu ‘menahan lukah di pergentingan’.
“Ini satu tindakan yang amat menjijikkan dalam keadaan darurat seperti ini namun mereka ini masih bersikap mementingkan diri sendiri dan agenda parti politik mereka. Jadi ini bukan masanya,” katanya dalam laporan MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut beliau berkata dalam situasi genting seperti itu, ahli politik tidak seharusnya mencabar kerajaan yang berusaha mengekang penularan Covid-19.
“Kita semua secara umumnya, khususnya golongan cerdik pandai, mempunyai tahap atau daya intelek yang hampir sama sahaja sebagai orang Malaysia, ekoran daripada sistem pendidikan kita selain pembawaan ketimuran kita.
“Jadi bagi saya, sesiapa juga yang memerintah, akan melakukan perkara yang hampir sama sahaja, dengan kelebihan di sana dan kekurangan di sini. Ini kerana itulah fitrahnya!
“Sehubungan fitrah ini, memang terdapat had dan kekangan dalam melakukan apa-apa jua oleh manusia!,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan