HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Mei 2021

KM Pulau Pinang mohon maaf berhubung kontroversi scam 2 juta vaksin

Staff Writers  MALAYSIA NOW

Selepas Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang pula memohon maaf selepas didedahkan tertipu dengan scam bantuan vaksin.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini memohon maaf susulan kontroversi berhubung scam tawaran dua juta dos vaksin Covid-19 yang didakwa diterima negeri itu sebelum ini.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya hari ini Chow berkata kerajaan Pulau Pinang akan memberi tumpuan dalam memperoleh bekalan vaksin dalam masa terdekat sebagai memenuhi permintaan rakyat negeri tersebut.

“Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini, dan berharap kita akan meneruskan segala usaha dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 seterusnya demi kebaikan seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini dibidas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang menjelaskan kerajaan negeri itu tertipu dengan sebuah scam palsu kononnya ia menerima tawaran sebanyak dua juta dos vaksin percuma daripada sebuah syarikat.

Menurut Khairy, pihaknya menyemak mengenai tawaran dan syarikat yang dimaksudkan namun mendapati syarikat tersebut sebenarnya tidak wujud.

“Saya ulangi sekali lagi hari ini. Sumbangan atau tawaran ini palsu. Lihat surat tawaran ini, letterhead syarikat pun tiada,” katanya pada satu sidang media dalam talian 19 Mei lalu.

“Saya bertanggungjawab terhadap pembelian vaksin di Malaysia, jadi saya tahu dari mana bekalan didapatkan.”

Terdahulu, bekas ketua menteri Pulau pinang Lim Guan Eng mendesak Chow untuk menerima tawaran itu, dan menyelar kerajaan pusat kononnya menyekat tawaran sumbangan kepada negeri tersebut.

Namun, susulan pendedahan Khairy, Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata beliau sedia meminta maaf di atas keterlanjuran menyelar Khairy.

“Sekiranya apa yang dikatakan oleh Khairy benar, maka saya bersedia meminta maaf,” katanya semalam.

Tiada ulasan: