HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Mei 2021

Laksana PKP penuh dengan tujuh syarat – Pemuda UMNO

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC. Gambar Media UMNO

KERAJAAN perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh seperti dilakukan tahun lalu bagi sekurang-kurangnya 14 hingga 21 hari.

Cadangan itu perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengekang penularan jangkitan positif COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Walau bagaimanapun, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menetapkan tujuh syarat bagi memastikan semua golongan masyarakat terus terbela sewaktu pelaksanaan PKP secara menyeluruh.

Menurut Asyraf Wajdi, rakyat terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) yang tidak bergaji tetap, bekerja sendiri atau tiada punca pendapatan perlu diberikan bantuan khas.

Pada masa sama, beliau berkata, syarat seterusnya adalah memberi kebenaran pengeluaran bagi inisiatif i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0.

Selain itu, kata Asyraf Wajdi, kerajaan harus memanfaatkan Ordinan Darurat untuk mengarahkan institusi kewangan dan perbankan menawarkan moratorium selama tiga hingga enam bulan tanpa caj atau faedah tambahan seperti penstrukturan semula.

“Kilang-kilang besar yang menjadi penyumbang terbesar kepada pandemik (lebih 50 peratus punca penularan virus COVID-19) mesti segera ditutup selama tempoh lockdown.

“Di samping itu, hanya petugas barisan hadapan dan pekerja e-hailing sahaja yang menghantar pesanan makanan serta barang-barang keperluan sahaja dibenarkan bertugas dan beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, dua lagi prasyarat yang perlu ditetapkan kerajaan termasuk menghalang sama sekali pergerakan rentas daerah mahupun negeri.

Kata beliau, semua sektor juga perlu ditutup sama seperti PKP 1.0 melainkan hanya sektor menjadi penggerak negara seperti air, elektrik, tenaga, komunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, kewangan dan perbankan.

Sektor-sektor lain yang dibenarkan beroperasi juga termasuk kesihatan, farmasi, bomba, penjara, lapangan terbang, keselamtan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

“Prinsip paling penting adalah lebih baik sengsara sekali berbanding merana berulang-ulang kali dan berpanjangan yang lebih memudaratkan rakyat serta negara.

“Jangan ada lagi dwi-standard dalam aspek penguatkuasaan mahupun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan PKP hingga wujud perbezaan tindakan terhadap golongan ‘kayangan’ serta marhaen,” jelas beliau.

Tiada ulasan: