AGENDA DAILY
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pastinya menjadi insan paling gembira Khamis baru-baru ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada dirinya berhubung kes melucut hak wang bernilai RM114 juta,
Beliau pasti tidak sabar untuk mendapat wang sejumlah itu, bahkan mana-mana individu pasti gembira sekiranya menerima wang sebanyak itu lebih-lebih lagi pada ketika kesulitan hidup semakin menekan semasa krisis pandemik ini.
Keterujaan Najib itu disokong pula dengan kenyataan penuh yakin peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib yang berkata akan menghantar surat kepada Peguam Negara (AGC) untuk menuntut wang tersebut dalam tempoh 24 jam.
Shafee juga berkata selepas dikembalikan, terpulang kepada Najib dan UMNO untuk mengambil bahagian masing-masing, bagaimanapun tidak dijelaskan secara terperinci jumlah yang akan dibahagikan antara Najib dan UMNO.
Untuk rekod, sepatutnya tempoh 24 jam itu berakhir pada Jumaat malam dan atas sangkaan baik mungkin surat itu sudah ada atas meja Peguam Negara ketika ini.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi daripada UMNO berhubung wang bernilai jutaan ringgit tersebut dikeluarkan dan semakan Agenda Daily di dalam laman portal UMNO-Online setakat 22 Mei 2021 juga tidak ada satu kenyataan berhubung tindakan selanjutnya disuarakan pemimpin UMNO bagi mendapatkan semula wang tersebut.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu pun peguam UMNO, Datuk Hafarizam Harun masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Namun, perkara yang perlu menjadi keutamaan selepas wang tersebut dikembalikan adalah berkaitan pembahagian sama rata.
Kebimbangan kini mungkin akan berlaku seperti adegan perompak dalam filem Nujum Pak Belalang, membahagikan harta rompakan di dalam gua, ‘satu untuk kau, satu untuk aku’ yang akhirnya gagal mencapai persetujuan kerana pembahagian yang tidak adil.
Shafee sendiri berkata terpulang kepada Najib dan UMNO memutuskan dalam soal pembahagian tersebut, persoalannya berapa peratus Najib dapat dan berapa peratus UMNO akan dapat? Semestinya akar umbi UMNO termasuk penyokong parti tertanya-tanya berkenaan hal ini.
Tetapi adakah UMNO sanggup mengambil risiko menuntutnya?
Penganalisis politik Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, meskipun Najib mempunyai hak untuk menggunakan atau tidak wang RM114 juta yang telah dikembalikan namun sebagai seorang warganegara beliau tidak terlepas daripada tindakan udang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Bila dipulangkan itu… tidak wajar kita mengaitkan nak kata lepas ini kau bayar LHDN yang tertangguh itu tak boleh cakap macam itu, sebab itu hak dia, jadi suka hati dialah nak bayar atau tak isu lain sebab kalau dia tak bayar dia kena akan dikenakan tindakan bawah Akta LHDN,” katanya kepada Agenda Daily.
Dalam pada itu mengulas lanjut berhubung perkara itu, Salawati berkata ‘tiada apa dapat diulas kerana mahkamah sudah membuat keputusan’.
“Bila mahkamah memutuskan untuk dikembalikan kena kembalikan lah, kita tak boleh kata tidak melainkan selepas pendakwa raya mahu membuat rayuan.
“Bagi saya apabila perintah mahkamah keluar wajib dipatuhi dan hakim dalam membuat pertimbangan dan keputusan ia telah melihat semua fakta dan bagi kedua-dua belah pihak jadi saya percaya hakim yang buat keputusan ini bijaksana,” katanya lagi.
Bagaimanapun kegusaran bagi pihak UMNO ketika ini mungkin masalah besar lain yang mungkin dihadapi parti sekali pun berjaya mendapat wang tersebut kembali.
Untuk rekod, pihak pendakwaan dalam hujah bertulis pada 20 Februari lalu mendakwa mendakwa bahawa kenyataan polis yang dirakam dari beberapa pemimpin parti, seperti bekas setiausaha agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan bendaharinya, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Salleh Said Keruak, menafikan mereka tahu bahawa Najib sepatutnya menyimpan wang berkenaan bagi Pilihan Raya Umum 2014 lalu.
Sekiranya UMNO menuntut bahagiannya daripada RM114 juta tersebut, persoalan akan timbul berapa banyak amaun yang sepatutnya diperoleh dan adakah jumlah tersebut pernah diisytihar dalam penyata tahunan parti?
Risiko yang akan ditanggung mungkin lebih buruk memandangkan sudah dinyatakan secara jelas wang tunai yang tidak dihitung, tidak diverifikasi dan tidak diaudit juga menyalahi pelbagai peruntukan dalam Akta Pertubuhan, ia boleh mengakibatkan UMNO dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Segala kemungkinan boleh berlaku daripada adegan Nujum Pak Belalang sehingga lah terkuburnya UMNO kerana wang ringgit dan mungkin juga tidak ada penyelesaian kerana berebutkan harta karun yang tidak tahu siapa tuan sebenarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan