HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Mei 2021

Pemilihan UMNO: RoS diminta tidak berat sebelah

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

MOHD. Roslee (tengah) menyertai program bubur lambuk anjuran UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN), Meru, Klang, Selangor.

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) digesa bersikap jujur dan tidak berat sebelah dalam mengeluarkan garis panduan berhubung pemilihan UMNO untuk diadakan pada tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian Kapar, Mohd. Roslee Abd. Hamid berkata, UMNO telah pun menghantar surat kepada jabatan berkenaan untuk menasihati Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai persetujuan bersyarat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi membenarkan pemilihan dilaksanakan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, seluruh tiga juta ahli akar umbi parti tentunya ternanti-nanti apa keputusan RoS dan MKN supaya ia tidak bercanggah Perlembagaan parti dengan tidak mengehadkan kehadiran ahli untuk membuat pengundian dalam pemilihan itu nanti.

“Ros perlu cadangkan kepada MKN apa yang perlu dikuatkuasakan untuk memastikan perjalanan mesyuarat tidak melanggar SOP.

“Tetapi garis panduan itu tidak boleh bertentangan Perlembagaan parti, sebagai contoh menetapkan pemilihan dibuat dengan syarat 50 peratus kapasiti dewan atau  satu perempat daripada korum sedangkan dalam Perlembagaan tidak boleh menidakkan hak ahli atau mengehadkan kehadiran lebih-lebih lagi pemilihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Roslee berkata, pihak RoS boleh memikirkan cara terbaik untuk membenarkan pemilihan itu dilaksanakan tanpa pelanggaran SOP seperti membenarkan pengundian secara pilihan raya dengan membuka pusat pengundian untuk ahli hadir mengundi dalam jumlah tertentu. 

Katanya, perkara itu boleh dilakukan sebagaimana DAP juga boleh mengadakan konvensyen pada Jun ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pemilihan UMNO pada tahun ini amat penting untuk memberi peluang ahli-ahli memilih calon Presiden terbaik untuk mengemudi parti seterusnya memastikan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, sekiranya ahli-ahli tetap memilih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menerajui parti melalui pemilihan itu nanti, maka semua pihak perlu akur kehendak akar umbi.

“Kalau ahli UMNO hendak Presiden baru, mungkin ada pertukaran Presiden dalam pemilihan. Apa yang mustahak UMNO mahukan satu kepimpinan yang boleh membawa kejayaan UMNO dalam PRU-15,” katanya. 

Sebelum ini, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah RoS dan Ketua Pengarah MKN bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk UMNO menjalankan pemilihan parti pada tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia dibuat selaras peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan SOP Covid-19.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: