FMT Reporters
Pakar Kesihatan Awam, Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata sebarang 
pengecualian akan mengakibatkan kelemahan pelaksanaan PKP. (Gambar 
Bernama)

PETALING JAYA: Ahli politik sepatutnya tidak dibenarkan merentas negeri kerana pergerakan mereka bersama pegawai berpotensi menyebarkan wabak Covid-19, kata pakar.

Pakar Kesihatan Awam, Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, penguatkuasaan perlu diperketatkan selepas kelonggaran rentas negeri dilihat berlaku ketika kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dan 3.0 selain kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Ini satu perkara pokok kita dapati apa yang berlaku pada PKP 2.0 dan 3.0. Ada banyak pengecualian dibenarkan misalnya dibenarkan rentas negeri kepada golongan tertentu khususnya ahli politik, ahli Parlimen.

“Apabila mereka bergerak, mereka bawa satu pasukan, ini jelas kita lihat kumpulan (yang) terlibat tidak mematuhi SOP.

Syed Mohamed Aljunid Syed Junid.

“Kenapa diberikan pengecualian begitu? Saya pun hairan. Ia menyebabkan kelemahan PKP, nampak kita tidak jalankan satu tindakan saksama, jadi timbul golongan kayangan dan sebagainya,” katanya dipetik daripada Astro Awani.

Beliau menambah, penguatkuasaan lebih efektif dan ketat serta adil akan membuahkan hasil khususnya apabila pergerakan rentas negeri dikurangkan.

Ujarnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan sekiranya saringan secara besar-besaran itu dilakukan.

“Bagaimanapun saringan besar-besaran serta kerjasama di antara kerajaan negeri dan pusat memerlukan ‘political will’ agar kemenangan menentang Covid-19 berpihak kepada negara.

“KKM harus bekerjasama dan dapatkan bantuan daripada sektor lain terutama kerajaan negeri untuk memobilisasikan penduduk tempatan dan kakitangan di dalam kerajaan negeri bantu dalam proses ujian ini.”

Beliau turut mencadangkan Malaysia mengambil contoh konsep sentralisasi yang diambil oleh Indonesia terutama dalam melibatkan kementerian dan agensi kerajaan lain dalam membantu KKM bagi memastikan negara berjaya menentang wabak Covid-19.

“Apa yang perlu kita lakukan, kita perluaskan usaha mengawal Covid-19. Bukan tumpu pada satu kementerian sahaja khususnya KKM dengan staf tidak cukup.

“Oleh itu, kita boleh melakukan mobilisasi daripada sumber-sumber manusia ada di daerah membantu staf KKM melakukan aktivitinya,” katanya.