HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

Persatuan veteran tentera mahu tubuh parti, tanding 50 kerusi

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (Veteran) mengambil keputusan untuk turut serta bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Menurut presidennya, Kapten Sharuddin Omar, keputusan itu diambil setelah Veteran mendapati kerajaan menurut mereka tidak memandang serius isu yang diketengah selama ini, serta kelemahan kerajaan dalam menangani isu-isu rakyat.

“Veteran akan meletakkan sekurang-kurangnya 50 calon kerusi Parlimen dengan beberapa kerusi DUN.

“... Veteran telah mengemukakan permohonan ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk penubuhan sebuah parti Veteran yang dikenali sebagai Parti Kemakmuran Negara (Kemakmuran) yang mana masih lagi dalam pertimbangan untuk kelulusan ROS,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media Veterans’ March to Parliament (Veteran Berarak ke Parlimen) di Hotel Royale Chulan Damansara hari ini.

Permohonan kepada ROS itu katanya telah dihantar dua bulan yang lalu, justeru dia menggesa kerajaan untuk meluluskan permohonan Kemakmuran sebagai parti politik sebelum PRU-15 berlangsung.

Kata Sharuddin, meskipun Veteran lebih selesa untuk calon-calonnnya nanti bertanding sebagai calon bebas, ia tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan NGO dan parti politik lain yang berkongsi wawasan yang sama dengannya, iaitu untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat.

Tambah Sharuddin, Veteran sedang menjalankan kajian strategik bagi menempatkan calon-calonnya di seluruh negara, yang katanya, akan memberi keutamaan di kawasan majoriti anggota tentera yang sedang bertugas dan tempat veteran tentera bermastautin.

“Berdasarkan situasi politik, kita pertimbangkan untuk bertanding di kawasan yang mana kita punya peluang untuk menang,” katanya.

“Kami (Kemakmuran) bukan hanya untuk veteran, kami jemput seluruh rakyat Malaysia bersama dengan kami.

"Mentor Veteran yang turut hadir tadi, Lt Gen Nawi Alias, menyifatkan hari ini sebagai hari bersejarah apabila ahli tentera bersara akan bertanding dalam PRU setelah kekal tidak berpolitik sepanjang perkhidmatan mereka.

“Apabila kami dalam tentera, kami berkhidmat untuk negara, Yang di-Pertuan Agong. Kami berkhidmat untuk kerajaan memerintah (government of the day). Kami kekal tidak berpolitik.

“Apabila kami bersara daripada angkatan tentera, ada berpendapat veteran patut kekal tidak berpolitik. Bagaimanapun, sesetengah masuk parti politik, itu tidak mengapa.

“Tetapi, julung-julung kali dalam sejarah, veteran bersatu untuk membentuk parti politik,” katanya yang berusia 78 tahun itu.

Tambahnya, tidak seperti ahli politik yang ada sekarang, veteran tidak pernah kenal erti rasuah ketika sepanjang berkhidmat dalam tentera, dan itu menjadikan mereka barisan yang layak dan bagus untuk berkhidmat dan menyumbang kepada rakyat.

“Kami peruntukkan hari muda kami untuk berkhidmat demi negara ini dengan nyawa dan darah kami.

“Saya nyaris mati beberapa kali. Alhamdulillah, Tuhan selamatkan saya, dan saya di sini hari ini, hampir 80 tahun tak lama lagi.

“Tapi semangat saya untuk berkhidmat untuk negara masih ada. (Kerana itu) Saya menyokong Veteran untuk ke Parlimen,” tambahnya.

Tiada ulasan: