HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Mei 2021

PH gesa KPM umum SOP sekolah di Selangor di bawah PKP

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera memperincikan prosedur operasi standard (SOP) bagi sekolah di Selangor yang akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Gesaan itu susulan pengumuman terbaru kerajaan semalam bahawa enam daerah di Selangor akan diletakkan di bawah PKP bermula esok hingga 17 Mei.

Jawatankuasa pendidikan PH hari ini menyorot bahawa sehingga kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum memaklumkan SOP bagi sekolah yang berada di kawasan berkenaan.

"Adakah sekolah-sekolah di bawah kawasan PKP akan ditutup serta-merta atau ia akan diteruskan sehingga cuti Hari Raya bermula?

"Pengumuman dengan kadar segera perlu dilakukan oleh pihak KPM memandangkan ada sekolah-sekolah yang sedang melangsungkan Peperiksaan Pertengahan Tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah jawatankuasa itu lagi, pengumuman awal daripada KPM akan memudahkan urusan pihak sekolah menyusun semula jadual peperiksaan dan mengekalkan fokus para murid.

Ia juga, katanya, dapat membantu ibu bapa menyusun semula pengurusan keluarga mereka.

Selain itu, dalam kenyataan sama, jawatankuasa berkenaan menggesa kerajaan menjelaskan proses pergerakan murid pulang ke rumah dari asrama masing-masing.

"Adakah ibu bapa yang perlu mengambil anak mereka dari asrama akan diberikan pelepasan merentas daerah dan negeri sempena pelaksanaan PKP kali ini memandangkan PKP kali ini dikuatkuasakan di musim perayaan?" soalnya.

Jawatankuasa itu mencadangkan agar pihak sekolah diberi kuasa mengeluarkan surat makluman pengambilan anak di asrama sebagai bukti apabila merentas daerah dan negeri nanti.

"Penggunaan surat makluman itu membolehkan ibu bapa tidak perlu hadir ke balai polis untuk mendapatkan kelulusan rentas daerah dan negeri memandangkan ia mengambil masa yang lama," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR, Teo Nie Ching dari DAP dan Dr Hasan Baharom dari Amanah.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengenakan PKP ke atas enam daripada sembilan daerah di Selangor bermula esok hingga 17 Mei.

Enam daerah itu ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Keputusan pelaksanaan PKP ini, kata Ismail dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif Cobid-19 dengan Selangor mencatatkan jumlah kes harian tinggi sejak 20 April.

Tiada ulasan: