MALAYSIAKINI
Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan strategi "tunda dos kedua" bagi menangani isu peningkatan mendadak kes Covid-19 dan kekangan bekalan vaksin semasa.
Majlis Presiden PH berkata, strategi itu juga digunakan United Kingdom (UK) sejak Nov 2020 dan ia kini dilaksanakan negara lain termasuk Singapura dan India.
"Keutamaan kami pada saat ini mestilah untuk melindungi semaksimum rakyat dalam jangka masa yang singkat.
"Dengan mengakui kekurangan dos vaksin pada peringkat ini, rintangan boleh diatasi dengan menunda sementara pemberian dos kedua,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.
Ia ditandatangani bersama oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH berkata kajian terbaru oleh Universiti Birmingham dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Awam England mendapati memberikan Pfizer-BioNTech 12 minggu selepas dos pertama berkesan menghasilkan antibodi lebih kuat berbanding menyuntiknya pada minggu ketiga
“Penyelidik dari Universiti Oxford juga mendapati pada Feb respons antibodi menjadi kuat dua kali ganda apabila dos kedua diberikan selepas 12 minggu,” kata PH.
Tambah PH, walaupun kerajaan berulang kali memberi jaminan Malaysia mempunyai bekalan vaksin mencukupi, namun kelewatan pemberian bahan itu menunjukkan keadaan adalah sebaliknya.
Di belakang Kemboja, Laos
"Terdapat kekurangan bekalan vaksin yang nyata dan kesannya jelas jika melihat kepada apa yang berlaku di seluruh negara.
"Oleh itu, kita mesti menerima hakikat ini dan menyedari bahawa ada keperluan sangat mendesak untuk kita melaksana strategi yang terbukti secara saintifik ini.
"Kami amat sedar dan merasai kekecewaan serta keresahan majoriti rakyat Malaysia kerana terpaksa menunggu untuk mendapat vaksin menghadapi risiko dijangkiti Covid-19 yang semakin tinggi," katanya.
Malaysia kini berada di tempat keempat bagi pengagihan vaksin Covid-19 kepada setiap 100 individu di Asia Tenggara.
Menurut statistik Out World in Data, kadar harian Malaysia - sehingga kemas kini terakhir pada 20 Mei - adalah 0.22 di belakang Singapura, Kemboja dan Laos dalam purata tujuh hari.
Bagaimanapun, ketiga-tiga negara mempunyai populasi lebih kecil berbanding Malaysia.
Singapura mempunyai 5.7 juta penduduk sementara Kemboja dan Laos masing-masing mempunyai 15.5 juta dan 7 juta rakyat.
Data menunjukkan republik Singapura mencatat kadar 0.66 pada 17 Mei, sementara kadar vaksinasi harian Kamboja bagi setiap per 100 adalah 0.39 pada 20 Mei, dan Laos 0.32 pada 13 Mei.
Dengan 33 juta penduduk, Malaysia mendahului Thailand (0.11) dan Indonesia (0.07), yang masing-masing memiliki 66.5 juta dan 270 juta rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan