AGENDA DAILY
UMNO juga perlu sedia menerima sebarang bentuk kerjasama dengan DAP sekiranya mereka mahu bekerjasama dengan PKR tetapi ia perlu atas prinsip kepelbagaian bangsa, kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin.
Shamsul Iskandar menyifatkan jajaran baharu politik yang dicadangkan perlu mengambil kira sokongan yang dimiliki DAP dikalangan pengundi bukan Melayu dan UMNO perlu menerima musuh seterunya itu dengan terbuka tanpa sebarang syarat yang akan menggagalkan kerjasama tersebut.
“Masalahnya sekarang, UMNO itu bersedia atau tidak? Jangan cakap saja bersedia, tetapi ada perkara di sebaliknya.
“Apabila bercakap tentang kepelbagaian bangsa, misalnya DAP mempunyai sokongan yang kuat daripada undi bukan Melayu. Jadi sewajarnya kalau UMNO bersedia untuk mulakan kerjasama, dia faham mengenai perkara itu, kita tak nampak sebarang masalah untuk kedua-dua parti gabungan Pakatan Harapan untuk hidangkan satu menu politik yang kuat dan rakyat boleh pertimbangkan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Jelasnya, corak kerjasama bersama UMNO tersebut mampu memberi kekuatan kepada gabungan blok pembangkang, Pakatan Harapan dan mereka boleh menjadi pengganti kepada Bersatu yang sebelum ini berada dalam gabungan tersebut sebelum mereka keluar kemudiaannya.
“Ketika PH buat gabungan bersama dengan Bersatu dulu, itu idea yang cuba dipaparkan mengenai kepelbagaian kaum, dan ia stabil, PH boleh jadi kerajaan boleh uruskan negara dan diyakini semua kaum.
“Tetapi apabila Bersatu mengkhianat gabungan itu, maka gabungan yang digagaskan Bersatu tidak boleh bertahan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga memberi bayangan mengenai pembentukan jajaran atau gabungan politik baharu yang dinamakan Perikatan 3.0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Beliau juga memberi bayangan bahawa ada usaha ke arah itu yang melibatkan gabungan bersama PKR dan DAP selepas mempertimbangkan kesesuaian dinamik politik negara yang sentiasa berubah atau mengikut perubahan semasa.
Malah, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad memulakan langkah awal ke arah penyatuan UMNO dengan DAP apabila mengadakan program bersama Ahli Parlimen DAP Bangi, Ong Kian Ming yang menjadi kontroversi baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan