Tindakan kerajaan Perikatan Nasional melebelkan mereka sebagai kerajaan Melayu Islam telah menyebabkan bangsa Melayu dan penganut agama Islam malu apabila kerajaan PN dikaitkan dengan rasuah politik, kata tokoh media, Datuk A Kadir Jasin.
“Kerajaan PN kata, ia kerajaan Melayu-Islam. Tapi rasuah politik berleluasa. Buat malu Melayu dan Islam saja!” kata Kadir menerusi Facebook beliau.
Kenyataan Kadir ini dibuat ketika rasuah politik ini didedahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador.
Bahkan, Hamid mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat para pemimpin politik yang melompat masuk ke parti kerajaan dan diberikan dengan pelbagai jawatan dari menteri, timbalan menteri sehinggalah pengerusi kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Jelasnya, tambahnya, dia menentang rasuah dalam PDRM, namun pemimpin politik telah membudayakan rasuah.
“Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik mabuk kuasa. Sekejap ‘katak’ melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu? Rasuah,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.
Sebelum ini tular audio yang dikatakan suara Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, mereka perlu membuat ‘scheme of things’ dan memberikan jawatan-jawatan untuk menarik mereka masuk bersama Bersatu.
Ekoran itu, sejumlah ahli Parlimen pembangkang keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, setelah mendakwa ada anggota Parlimen daripada PKR yang mengaku ditawar sogokan untuk lompat parti.
Bagi Hamid yang akan tamat jawatannya beberapa hari lagi, SPRM perlu menyiasat segala dakwaan ini.
“Saya minta SPRM masuk (siasat). Seolah-olah dalam negara kita tidak ada undang-undang,” katanya.
Abdul Hamid turut mempersoalkan sumber diperolehi bagi seseorang ahli politik menggunakan jet peribadi. Dia bagaimanapun tidak menamakan pemimpin politik yang dimaksudkan.
“Mana dapat duit naik ‘private jet’. Kita minta SPRM siasat orang-orang politik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan