LEPAS satu, satu tohmahan yang terpaksa dihadapi Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kebelakangan ini.
Terbaru, yang berkait gambar hari raya bersama keluarga yang dimuat naik Mohamed Azmin.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berada dalam radar netizen kerana ada dakwaan menerima ahli keluarga yang bukan serumah pada pagi raya.
Panas juga di media sosial semalam memandangkan tengok pada gambar, nampak ramai dengan ada beberapa pasangan selain dakwaan itu dibuat ahli keluarga terdekat Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu sendiri
.
Gambar Azmin dan keluarga (kanan bawah) semua serumah, menurut polis Putrajaya.
Namun polis Putrajaya dalam kenyataan hari ini menjelaskan, keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi Mohamed Azmin mengesahkan pada 13 Mei (1 Syawal) tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman tersebut.
Bagaimanapun, katanya, satu laporan polis diterima semalam berhubung dakwaan Mohamed Azmin melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan larangan ziarah Aidilfitri.
“Laporan itu diterima pada 3 petang berhubung hantaran di Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial mendapat perhatian netizen yang mendakwa ahli keluarga Mohamed Azmin merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Fadzil berkata, Mohamed Azmin serta ahli keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali serta saksi-saksi yang lain akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihati pengguna media sosial yang lain supaya berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.
Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei lebih kurang 8 pagi di kediaman rasmi Mohamed Azmin di alamat No 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan