HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Mei 2021

Setelah kena scam lepas ini DAP jangan pula menipu rakyat

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Hanif Haron

Di sebalik pelbagai kenyataan dan menuding jari semata-mata untuk menunjukkan mereka tidak bersalah, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP hanya mahu meraih simpati setelah malu besar dalam kes sumbangan vaksin Covid-19 tidak wujud oleh sebuah syarikat.

Mungkin awalnya Chow Kon Yeow yang menerajui kerajaan DAP Pulau Pinang dan Lim Guan Eng sebagai orang kuat parti DAP begitu gembira mendapat khabar ada pihak mahu menyumbang vaksin secara percuma kepada kerajaan negeri itu.

Sekali gus akan dijadikan bahan politik untuk menunjukkan bahawa kerajaan DAP dan Pakatan Harapan (PH) lebih hebat daripada Kerajaan Pusat ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) kerana boleh mendapat vaksin secara percuma, bukan membelinya.

Namun, harapan untuk mendapat kredit dan tepukan rakyat musnah apabila kerajaan PN menerusi Menteri Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mendedahkan tidak wujud sumbangan seperti itu.

Khairy membuat pendedahan itu setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima surat – yang sebenarnya surat itu ditulis oleh DAP Pulau Pinang sendiri – memohon kebenaran bagi membolehkan syarikat penderma membeli vaksin Sinovac untuk tujuan sumbangan kepada kerajaan Pulau Pinang.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy sudah tentu menjalankan siasatan kerana bimbang akan timbul masalah di kemudian hari, sebelum mendapati syarikat itu tidak wujud dan pengeluar Sinovac juga tidak pernah berurusan dengan pihak berkenaan.

Kerana malu kena scam, bermulalah episod tuding jari menyalahkan Kerajaan Pusat oleh Guan Eng sehingga mengeluarkan cacian kepada Khairy, sementara Kon Yeow pula mencari salah syarikat berkenaan, seolah-olah kerajaan PN bermain politik.

Ketika mengulas isu memalukan itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Hanif Haron menyifatkan wujud sandiwara dan muslihat politik kerajaan DAP Pulau Pinang setelah tawaran itu disahkan palsu dan kerajaan negeri kena scam.

“Kon Yeow bagaikan cuba untuk dilihat sebagai hero rakyat dengan usaha memperoleh vaksin tersebut dan kemudian mempolitikkannya seakan Pulau Pinang ditindas atau dilayan secara tidak adil oleh Kerajaan Pusat.

“Tetapi hakikat memalukan, apabila sebuah kerajaan ditipu sedemikian dan dalam perkara yang melibatkan kesihatan dan keselamatan awam.

“Jikapun hal ini menjadi satu cubaan DAP meraih perhatian politik dengan mencipta pertembungan acah-acah dengan Kerajaan Persekutuan diterajui PN, jaminan kesihatan dan keselamatan rakyat tidak harus sama sekali diperjudikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hanif juga berkata kes itu menunjukkan sikap gopoh kerajaan DAP kerana disebabkan keterujaan terhadap tawaran berkenaan tanpa disiasat terlebih dahulu telah menjejaskan tadbir urus serta menunjukkan betapa tidak profesionalnya kerajaan negeri.

Beliau turut membidas kenyataan berbaur ejekan ‘derma politik boleh, derma vaksin tidak boleh’, sebagaikan meludah ke langit dan jatuh ke muka kerajaan DAP Pulau Pinang sendiri.

Walaupun Kon Yeow meminta maaf atas kesilapan itu, dan Guan Eng pula kekal tidak berpuas hati setelah DAP ditipu, ia patut dijadikan pengajaran supaya selepas ini parti itu tidak pula menipu rakyat dengan janji-janji kosong ketika Pilihan Raya Umum akan datang

Tiada ulasan: