HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mei 2021

Turun lawat, tengok sendiri sekolah pedalaman jalani PdPR, kata Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan 
bagaimana PdPR dalam suasana pandemik Covid-19 boleh dilaksanakan 
dengan berkesan di sekolah pedalaman. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi mendesak Menteri Pendidikan Radzi Jidin untuk melawat sekolah pedalaman dan melihat sendiri sejauh mana pembelajaran dalam talian berkesan.

Puad berkata sekolah-sekolah itu berdepan pelbagai cabaran seperti masalah sambungan internet, liputan telefon, bekalan elektrik, air bersih dan pengangkutan.

Jelas beliau keadaan fizikal sekolah luar bandar, termasuk asrama, perumahan guru, perpustakaan dan makmal komputer, adalah sangat teruk.

“Apakah PdPR mengambil kira semua masalah tersebut?” soal beliau dalam kenyataan.

“Kalau guru dan pakar turut mengkritik PdPR, sudah tentu sukar dilaksana di pedalaman kerana kekangan logistik.

“Sebab itu amat wajar kalau Menteri KPM turun melawat sekolah pedalaman. Tengok sendiri.”

Selepas sebahagian tahun lalu dihabiskan untuk belajar dalam talian, pelajar di seluruh negara kembali belajar secara dalam talian selepas cuti Hari Raya, yang berlangsung dari 11 hingga 15 Mei untuk sekolah dalam Kumpulan A dan 11 hingga 16 Mei untuk sekolah dalam Kumpulan B.

Kumpulan A terdiri daripada sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B terdiri daripada sekolah-sekolah di negeri-negeri lain dan Wilayah Persekutuan

Tiada ulasan: