HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Mei 2021

UMNO jangan berdiam diri, ambil tindakan pada individu langgar keputusan parti - Shahidan

Abdul Hadi Che Awang

UMNO jangan berdiam diri, ambil tindakan pada individu langgar keputusan parti - Shahidan
MT Umno tidak boleh dilihat berdiam diri dengan tindakan membelakangkan keputusan parti termasuk menzahirkan sokongan terhadap Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, tegas Shahidan. - Gambar fail
 
KANGAR: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Disiplin UMNO memberi lebih perhatian dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu dari parti itu yang melanggar ketetapan yang telah dibuat sebelum ini iaitu No Anwar, No DAP.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, MT Umno juga tidak boleh dilihat berdiam diri dengan tindakan membelakangkan keputusan parti termasuk menzahirkan sokongan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
 
Tambahnya, beliau turut merasa terhina jika sebarang tindakan tidak dilaksanakan dalam insiden membabitkan audio tular memandangkan namanya turut disebut dalam perbualan terbabit dan wujud perancangan dalam mengganggu ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.
 
"Kalau ada orang yang pergi sokong Anwar (Ibrahim), sokong DAP, maka orang itu kena diambil tindakan, contoh ada orang yang tulis surat kepada (Yang Di-Pertuan) Agong untuk menyokong Anwar, itu merupakan sesuatu yang tidak boleh didiamkan.
 
"Majlis Tertinggi nampaknya diam, Jawatankuasa Disiplin pun diam, (kena) ambil tindakan kalau betul langgar (keputusan parti),
 
"Kemudian baru-baru ini (tular satu) audio percakapan yang turut libatkan nama saya, sebab nama saya disebut dalam ucapan tersebut, saya rasa macam betul-betul terhina kerana saya dirancang oleh pihak tertentu untuk nak ganggu ucapan saya (semasa Perhimpunan Agung UMNO) , ini adalah perbuatan yang cukup kejam yang dilakukan kepada saya," katanya.
 
Shahidan berkata demikian ketika ditemui media di Dewan Warisan, Kangar, pada Rabu malam.
Dalam perkembangan sama, Shahidan berharap agar pihak-pihak tertentu tidak mempersoalkan kesetiannya kepada UMNO memandangkan beliau merupakan individu yang telah mengetuai parti itu di Perlis bagi mencapai kemenangan dalam beberapa Pilihan Raya (PRU) sebelum ini.
 
Berhubung pendedahan gerakan yang menyokong Anwar, Shahidan sekali lagi mengulangi akan melakukannya selepas Hari Raya Aidilfitri dan segala perincian mengenainya masih lagi dirahsiakan ketika ini.
 
"Lepas raya saya nak bercerita sedikit tentang gerakan yang dibuat Ahli Parlimen... saya tahu siapa yang tandatangan apa semua... (buat masa sekarang) rahsia," ujar beliau.

Minggu lalu, Shahidan memaklumkan akan mendedahkan gerakan mendapatkan tanda tangan Ahli-ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
 
Dalam sidang media khasnya, Shahidan mendakwa, gerakan mendapatkan sokongan Ahli Parlimen UMNO itu dilakukan ketika sidang Parlimen Oktober tahun lepas, namun, usaha itu menemui kegagalan.

Sebelum itu, Shahidan digugurkan daripada jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis dan digantikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Keputusan menggantikan Shahidan itu diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media pada 24 April lalu

Tiada ulasan: