HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Disember 2021

Asyraf Wajdi bangga Pemuda Umno tidak kenal erti lelah bantu mangsa banjir

Naja

Asyraf Wajdi bangga Pemuda Umno tidak kenal erti lelah bantu mangsa banjir

JENTERA Pemuda Umno di seluruh negara yang terlibat secara langsung membantu mangsa banjir di kawasan masing-masing mengundang rasa bangga ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah, menurut Asyraf Wajdi, semangat tidak pernah mengenal erti penat lelah yang ditonjolkan Pemuda Umno biarpun telah memasuki hari kelima membantu mangsa banjir, mencerminkan betapa tulusnya sayap Umno itu membantu rakyat.

“Sudah empat hari tidur 2-3 jam sahaja, Doc!”, salah seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian di Selangor mengadu ketika saya telefon tanya khabar perkembangan banjir di kawasan masing-masing.

“Ramai juga bila dah masuk hari ke-5 ni yang mula rasa kepenatan dan ada yang dah nak demam setelah kerja kuat sejak bermula hari sabtu yang lepas, secara konsisten membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan masing-masing.

“Alhamdulillah, saya rasa syukur dan cukup berbangga memiliki barisan jentera Pemuda Umno yang cukup komited dalam membantu rakyat di kala musibah bahkan sanggup berkorban harta, masa dan wang ringgit demi tanggungjawab untuk membantu rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu, Asyraf Wajdi turut memuat naik 56 foto yang memaparkan Pemuda Umno bahagian serta cawangan di seluruh negara membantu mangsa banjir di kawasan masing-masing.

Belaiu juga mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua Pemuda Umno dan sukarelawan Skuad Sabil yang membantu mangsa banjir dalam pelbagai bentuk.

“Mereka telah menggerakkan ahli-ahli Pemuda umno dan Sukarelawan Skuad Sabil di semua cawangan-cawangan dalam bahagian masing-masing untuk membantu menyelamatkan mangsa banjir, membekalkan keperluan asas seperti makanan, minuman dan bekalan air serta melakukan pembersihan di tempat-tempat yang terkesan.

“Bagi yang tidak terkesan pula terutamanya Pemuda Umno dari negeri-negeri atau bahagian-bahagian lain turut datang membantu mangsa banjir dalam pelbagai bentuk.

“Saya selalu peringatkan pesan Nabi Muhammad S.A.W.:

‎وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

“Dan Allah sentiasa menolong hambaNya yang mana hambaNya itu sentiasa menolong saudaranya yang lain” (Riwayat Muslim)

“Syabas dan Terima kasih buat semua ahli Pemuda Umno! Saya amat bangga dengan kalian! Moga Allah sahaja dapat merahmati dan membalas segala amal kebajikan yang dilakukan,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: