SHAH ALAM – Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) bersama 53,109 ahli badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Nor Hizwan Ahmad yang juga merupakan bekas Setiausaha Politik Zuraida Kamarudin berkata, beliau tidak lagi menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas meletakkan jawatan beberapa minggu lalu untuk menyertai PKN.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini PBM masih belum mempunyai Presiden manakala Ahli Parlimen Julau, Larry Sng adalah Timbalan Presiden parti itu.
Jelasnya, Presiden akan dipilih semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kelak.
“Tadi kebetulan, kita dalam program kita yang dihadiri Larry Sng yang merupakan Timbalan Presiden PBM dan kita difahamkan berlaku komunikasi di antara pihak parti dengan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan kita dimaklumkan juga tadi kemungkinan parti ini diarahkan membuat satu EGM baharu di atas beberapa perkara berlaku,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Walaupun tidak mendedahkan calon-calon Presiden yang sedang dipertimbangkan, Hizwan berkata, mereka merupakan individu cukup dikenali.
Ditanya adakah Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah antara calon Presiden yang sedang dipertimbangkan, Hizwan berkata, ketiadaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu pada hari ini menjawab persoalan tersebut.
“Saya pun agak terkejut, parti ini parti baharu, tapi nama yang dicadangkan itu agak besar nampak gayanya belum apa-apa PBM ini sudah menjadi pilihan awam. Antara nama, saya tidak dapat lagi maklumat begitu tepat sebab baru hari pertama saya menyertai PBM.
“Zuraida seorang menteri dari salah satu komponen parti kerajaan saya dapat lihat beliau sedang bekerja keras dan tidak adil untuk saya menjawab bagi pihaknya. Tapi dia tidak berada di sini. ia jelas,” menurut beliau.
Sebelum ini Zuraida diuar-uar bakal menjadi presiden sebuah parti baharu.
Hizwan berkata, beliau yakin PBM akan menjadi parti yang akan berdiri sendiri, namun pada masa sama tidak menolak perbincangan dengan parti-parti lain.
Tidak menolak PBM seperti parti-parti lain yang berhasrat bertanding pada pilihan raya akan datang, Hizwan berkata, ia perlu menilai sokongan akar umbi terlebih dahulu.
“Untuk masa ini kita mengukur sokongan PBM di akar umbi, adakah idea-idea kita bawa mendapat sambutan daripada anak-anak muda.
“Walaupun kami yakin kami tidak mahu terlalu realistik kita kena juga tengok kemahuan akar umbi untuk langkah seterusnya tapi kalau tanya saya akan bertanding? Itulah cita-cita orang politik,” tambah beliau.
Terdahulu, Hizwan berkata, kemasukan anggota PKN ke dalam PBM membawa enam perjuangan iaitu kepelbagaian kaum, mengangkat martabat muda, golongan wanita, ekonomi, sains dan teknologi dan pendidikan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan