HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 Disember 2021

Bersatu tidak anggap PRN Melaka petanda buruk – Faizal Azumu

MALAYSIA POST

Bersatu tidak anggap PRN Melaka petanda buruk – Faizal Azumu

BERSATU tidak akan runtuh atas hinaan, cercaan dan makian meskipun ada dakwaan yang meminta parti itu dibubarkan selepas kekalahan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata PRN Melaka sebenarnya sudah membuka mata rakyat dan pengundi bahawa Perikatan Nasional (PN) serius dan bersungguh-sungguh untuk memimpin negara.

Beliau berkata, ini berdasarkan kejayaan ketika PRN Sabah dan momentum sokongan di Melaka yang perlu diperkukuhkan.

“Kita jangan sesekali menganggap PRN Melaka itu petanda yang buruk. Saya melihat penerimaan yang baik di kalangan rakyat Untuk Bersatu dan PN, bukan sahaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dan DUN Sungai Udang, tetapi, kita menunjukkan potensi amat baik di beberapa lagi kawasan seperti DUN Tanjung Bidara, Pantai Kundor dan Serkam.

“Kita terima hakikat, kita kurang berjaya di Melaka, kita terima hakikat banyak yang kita perlu tambah baik. Tetapi, ada yang kononnya menyindir kita minta kita bubarkan parti.

“Mereka lupa parti ini tidak runtuh atas hinaan, cercaan dan makian, bukan pejuang Bersatu namanya jika menganggap ini sebagai pengakhiran kepada kita,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Tahunan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi 2021 hari ini.

Ahmad Faizal berkata, pimpinan Bersatu dapat menghidu udara kemenangan, penerimaan rakyat dan pengundi kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau ‘Abah’.

Bagaimanapun, pihaknya melihat kelompongan dan kelemahan beberapa iktibar dan kelemahan di PRN tersebut.

“Kita terlalu banyak blame game di Melaka, kita banyak menuding jari, tetapi tidak lihat kepada sumbangan kita sendiri.

“Kedua, model politik lama apabila kita selalu seronok-seronok dengan kumpulan kita sendiri, tetapi tidak turun mendekati pengundi.

“Selain itu, menuding jari dan menyalahkan jentera tempatan dan semangat berpasukan yang masih longgar,” ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan maklum balas di bawah, rakyat dan pengundi menyukai cara yang digunakan Bersatu dalam berkempen.

Katanya, ini kerana Bersatu menggunakan pendekatan sederhana, santai dan tenang, tetapi outreach itu tidak menyeluruh.

“Akhirnya, kita tewas di 26 kerusi daripada 28 yang kita tandingi. PRN Melaka membuktikan, angin sokongan kepada Abah dan PN sudah padu dan kuat, namun jentera dan outreach kita mesti juga diperkukuh.

“Jentera asas kita seperti counting agent kena diperkukuh. Kita perlu minta mereka yang bersama kita secara senyap, keluar dan sumbangkan tenaga kepada parti,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Penerangan Bersatu Malaysia

Tiada ulasan: