Mantan ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor Mohd Najwan Halimi meminta pandangan penganalisis politik Wong Chin Huat yang mencadangkan agar PKR dan AMANAH bergabung menjadi sebuah parti perlu dipertimbangkan.
Katanya, cadangan itu perlu diteliti dan dipertimbangkan sewajarnya oleh majlis pimpinan kedua-dua parti.
Ini kerana katanya, kedua-dua parti memiliki citra politik yang sama yakni mengangkat agenda reformasi mendukung prinsip keadilan sosial serta membela hak dan kebajikan rakyat terbanyak.
Najwan juga berkata, gabungan ini akan menguatkan keupayaan jentera kedua-dua parti di peringkat akar umbi serta membantu menyelesaikan isu pembahagian kerusi pilihan raya yang selama ini menjadi cabaran kepada kedua-dua pihak.
Bahkan katanya, penggabungan ini mewujudkan ruang kepada pimpinan serta anggota AMANAH untuk memperkukuhkan struktur kepimpinan PKR yang mengalami vakum di peringkat pusat negeri dan cabang sejak berlakunya Langkah Sheraton.
“Penggabungan ini bukan perkara baru, sejarah merakamkan penggabungan beberapa buah parti politik menjadi sebuah entiti misalnya Parti Rakyat Malaysia ke dalam Parti Keadilan Nasional pada 2003 dan juga gabungan Semangat 46 ke dalam Umno pada 1996,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan