HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Disember 2021

Guna poster PM dalam kempen PRU, gambar Zahid tak laku: UMNO Padang Terap


Gambar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicadangkan agar digunakan dalam poster kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) kerana lebih laku berbanding gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Cadangan tersebut disuarakan UMNO Bahagian Padang Terap selepas usul tersebut diluluskan pada Mesyuarat Perwakilan Bahagian yang berlangsung hari ini kerana langkah itu diyakini mampu menarik orang ramai untuk mengundi Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Keputusan supaya Ismail Sabri menjadi ‘poster boy’ ini diluluskan secara sebulat suara dan faktor utamanya kerana beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika ini.

“Beliau juga dilihat menjalankan tugas dengan baik dan faktor tersebut diyakini dapat menarik lebih ramai orang untuk mengundi UMNO dan BN,” kata Ketuanya, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan langkah tersebut bakal menjadi strategi terbaik bagi memenangi hati pengundi pada PRU akan datang.

Strategi menggunakan gambar Ismail Sabri sudah mula digunakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ia terbukti memberi kemenangan besar kepada BN dan UMNO yang berjaya meraih majoriti dua pertiga.

Gambar Zahid tidak digunakan langsung semasa kempen PRN Melaka lalu.

Selain itu, Mahdzir berkata PM juga perlu diberi masa dan ruang mencukupi untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terutamanya berkaitan pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19 sebelum membubar Parlimen bagi memberi laluan PRU dijalankan.

“Dalam erti kata lain, PRU-15 tidak perlu diadakan dalam masa terdekat.

“Apabila sampai satu ketika beliau merasakan sudah sampai masanya untuk adakan pilihan raya bersandarkan faktor tertentu, biarlah Ismail Sabri sendiri berbincang dengan kepimpinan parti,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kelayakan Ismail Sabri untuk diangkat sebagai presiden parti, Mahdzir berkata perkara itu perlu diserahkan kepada ahli parti pada pemilihan akan datang.

“Itu soal pemilihan dan berbeza sama sekali dengan usul yang kita luluskan hari ini. Namun kalau boleh, kita mahu supaya PM menjadi orang sama menguruskan urusan berkaitan parti.

“Apa pun saya sebutkan tadi, ini perlu dikembalikan kepada ahli dan kita perlu kembali kepada bahagian serta akar umbi bagi menentukan perkara tersebut,” katanya.

Selain usul berkenaan, tiga lagi usul yang diluluskan secara sebulat suara dengan satu daripadanya adalah menyokong Ismail Sabri sebagai PM sehingga tamat penggal pada 2023.

Tiada ulasan: